Search This Blog

Monday, March 27, 2017

Hukuman bunuh orang murtad dalam Islam




Sebagai seorang Muslim, kita wajib menerima dan akur kepada semua syariat yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita, termasuklah hukuman hudud seperti yang disebut dalam QS 5:38 (hukuman potong tangan untuk pencuri), QS 5:33 (hukuman hirabah), QS 2:178 (hukum Qisas), QS 24:2 (sebatan bagi pelaku zina), QS 24:4-6 (qazaf) dll.

Selain dari hukuman yang telah disebut dalam al-Quran, terdapat juga beberapa hukuman yang berdalilkan dengan hadits sahih. Contohnya seperti hukuman rejam sampai mati untuk penzina yang telah berkahwin dan membunuh orang yang telah murtad.

Terdapat khilaf (perbezaan pendapat) diantara ulama mengenai hukuman bunuh bagi orang yang telah murtad kerana dalil hukuman itu adalah dari sumber hadis ahad yang masih mempunyai sifat zanni. Para ulama berpendapat bahwa hadits ahad tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk perkara akidah dan hukuman bunuh kerana ia adalah bersifat zanni (tidak Qati').

Lagipun, para ulama berpendapat bahwa hukuman membunuh orang yang telah murtad adalah terikat dengan kelakuan khianat (treason) kerana Nabi SAW dan para sahabat pernah melepaskan orang yang telah murtad tanpa diperangi dan tanpa sebarang hukuman. Murtad yang telah dibunuh pada zaman itu adalah orang2 yang akan membawa ancaman keselamatan kepada umat Islam setelah mereka berpaling.

Kebebasan beragama adalah prinsip fundamental Islam, sebagaimana yang difirman oleh Allah SWT yang bermaksud:

"Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam)..." (QS 2:256) 

"Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku". (QS 109:6)


Telah diriwayatkan bahwa abang kepada Zaynab bint Jahsh (isteri Nabi SAW) dan suami kepada Ramla bint Abi Sufyan (juga isteri Nabi SAW), iaitu Ubaydallah ibn Jahsh telah dibenarkan oleh para sahabat ra. untuk keluar dari agama Islam dan memeluk agama kristian setelah hijrah ke Abyssinia.

Malah, bukan saja Ubaydallah ibn Jahsh tidak dibunuh setelah dia murtad tetapi dia juga hidup secara damai dalam keadaan murtad (sehingga dia meninggal dunia) bersama para sahabat ra. pada ketika itu. Juga terdapat sebuah hadits yang meriwayatkan bahwa Nabi SAW telah melepaskan seorang Arab Badui yang telah murtad tanpa apa2 hukuman:

Diriwayatkan oleh Jabir, mengatakan; 'Seorang arab badui mendatangi Nabi SAW dan berujar "Baiatlah aku untuk Islam, "maka Nabi membaiatnya untuk Islam. Keesokan harinya si arab badui tadi datang dalam keadaan demam, dan berujar; "batalkanlah baiatku" namun Nabi enggan. (sebanyak 3 kali, lepas tu dia pun pergi meninggalkan Madinah).

Ketika si arab badui sudah berpaling, Nabi bersabda: "Madinah ini bagaikan tungku api yang menghilangkan karat-karatnya dan menyaring yang baik saja." (HR Bukhari No.6777, Muslim No.2453 dan lain-lain)

Kita boleh lihat disini bahwa tujuan Islam hukum membunuh orang yang telah murtad bukanlah kerana dia telah meninggalkan agama Islam tetapi kerana dia mempunyai tujuan khianat (treason) yang akan mengancam keselamatan umat Islam pada masa itu.

Hukuman bunuh orang murtad tanpa khianat juga telah bercanggah dengan ayat-ayat Al-Quran yang menyebut bahwa tiada paksaan dalam agama (QS 2:256) dan juga penerimaan taubat orang yang telah kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi (QS 3:90 dan QS 4:137). Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat." (QS 3:90) 

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar." (QS 4:137)

Jelas kita boleh lihat disini bahwa Islam adalah satu agama yang menerima taubat orang-orang yang telah kafir. Allah SWT juga telah berfirman (maksudnya):

"Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya." (QS 18:29)


Jika Islam adalah satu agama yang membunuh orang yang ingin keluar dari ajarannya, maka siapakah lagi yang berani memeluk agama ini? Islam akan menjadi satu agama yang beku, iaitu agama yang tidak boleh berkembang.

Dalam konteks Malaysia, hukuman dan larangan keluar dari agama Islam adalah lebih cenderung kepada asbab dan kepentingan politik (bias political reasoning). Mereka takut jika orang Islam keluar dari agama Islam, kekuatan majoriti akan tergugat dan mereka akan hilang kuasa pemerintahan.

Islam bukanlah agama kultus (religious cult), tetapi ia adalah satu agama fitrah yang murni, adil dan menyeluruh yang bersifat rahmatan lil-alamin. 

Jika umat Islam diberi ilmu dan pendidikan Islam yang benar (yang ikut dalil dan sunnah Nabi SAW), tanpa cemaran dari kepentingan diri dan politik yang serong dari pihak tertentu, nescaya tiada siapa yang berakal waras akan meninggalkan agama suci ini, walaupun tiada sebarang larangan atau hukuman.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment