Search This Blog

Tuesday, March 28, 2017

Hukum nasab anak zina kepada bapa zinanya




Janganlah jadi seorang Muslim yang kering hati, gunakanlah nilai keperimanusiaan kamu untuk menilai perkara ini. Yang berdosa adalah ibu bapa yang telah berzina, bukan anak-anak yang dilahirkan itu. Jika anak-anak yang terhasil dari zina itu tidak dibenarkan untuk 'bin' kepada bapanya, budak itu akan menanggung malu seumur hidup.

Di Malaysia (selain Perlis), pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di ‘bin’ kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam ertikata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’.

Hasil daripada undang-undang ini adalah bertambah ramai kanak-kanak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepada anak yang tidak berdosa.

Imam Hasan al-Basri adalah diantara tabiin yang terawal dalam sejarah Islam dan beliau pernah berjumpa dengan sejumlah sahabat Nabi SAW yang ramai, termasuk para sahabat yang pernah berjuang di perang badar. Beliau dan beberapa ulama lain seperti Urwah bin al-Zubair, Ishaq bin Rahuyah dan lain-lain berpendapat bahwa anak luar nikah boleh dinasabkan kepada bapa yang telah berzina.

Begitu juga dengan Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Dr Yusuf al-Qaradawi dan lain-lain yang berpendapat bahwa; “Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dan harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya..."

Dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi SAW: “Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Hadits Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini disebutkan oleh Nabi SAW apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda diantara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya.

Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah.

Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi SAW, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d. Dengan demikian, baginda telah memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut) ”.

Daripada hadits ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah SAW memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina. Anak-anak yang terhasil dari zina itu sememangnya tidak berdosa dalam hal ini.

Hamil di luar nikah dan masalah nasab anak kepada bapa yang telah berzina ini adalah suatu perkara ijtihadi yang mempunyai khilaf dikalangan ulama. Oleh itu, mengapa kita tidak memilih pendapat yang dapat membebaskan anak-anak (yang terhasil dari zina) yang tidak berdosa itu dari tekanan dan aib?

Malah, pendapat ini juga dapat membantu ibubapa yang terlanjur meneruskan kehidupan yang sempurna dan membinaan keluarga yang soleh setelah berkahwin dan bertaubat.

Bukankah pendapat ini lebih menepati maqasid dan tuntutan agama Islam yang bersifat rahmatan lil ‘alamin, iaitu agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh umat dan alam semesta?

Allah SWT berfirman yang bermaksud; "Hamba-Ku mengetahui bahawa dia mempunyai Rabb yang akan mengampuni dan menghapus dosanya, maka Aku ampuni hamba-Ku itu…"(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, lihat: al-Lu’lu’ wa al-Marjan #1754 dan Fathul Baari juz 13 halaman 46)


Wallahu'alam

footnote:
ruj: Menasabkan Anak Kepada Suami Ibu Sekalipun Perkahwinan Kurang Daripada Enam Bulan oleh Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul - November 11, 2008
ruj: Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis pada September 2008
ruj: Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn DYMM Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

No comments:

Post a Comment