Interactive Da'wah Training merupakan sebuah NGO dakwah Islam yang mengenengahkan ilmu mengenai perbandingan agama. Peserta yang mengikuti kursus IDT bakal diketengahkan dengan pelbagai medium dakwah yang mensasarkan golongan bukan islam melalui pembelajaran asas mengenai kepercayaan asas agama-agama yang ada di Malaysia.
Search This Blog
Wednesday, October 25, 2017
Qawaid al-Fiqhiyyah
Qawaid al-Fiqhiyyah adalah landasan prinsip-prinsip kulli yang bersifat umum dalam perundangan feqah yang merangkumi hukum-hukum syara’ yang ditemui dalam al-Quran dan as-sunnah.
Prinsip-prinsip atau kaedah-kaedah umum ini merupakan rujukan dan garis panduan bagi penetapan hukum-hakam fiqh dalam Islam. Tanpa kaedah-kaedah umum fiqh ini, hukum-hakam fiqh boleh menimbulkan pertentangan diantara satu sama lain.
Menyedari hakikat betapa pentingnya penyusunan kaedah-kaedah Fiqh ini, beberapa orang ulama telah tampil untuk membahaskan qawaid al-fiqhiyyah ini melalui kitab karangan mereka. Antara ulama-ulama terulung yang menyusun kitab kaedah-kaedah fiqh ialah:
1) Imam Jalaluddin al-Suyuti - (849-911 AH)
2) Zainal 'Abidin bin Ibrahim bin Nujaym al-Hanafi (Ibnu Nujaym) - (m 970 AH)
Usul fiqh adalah manhaj ilmu yang menghuraikan permasalahan hukum-hakam dengan menggunakan methodology para ulama mujtahid dalam menetapkan hukum syara' dari nas dan dalil yang berasaskan al-Quran dan as-Sunnah.
Qawaid al Fiqhiyyah pula adalah kaedah-kaedah yang digunakan dalam Usul Fiqh oleh ulama2 Mujtahid dan ahli fatwa dalam usahanya untuk menyelesaikan masalah2 yang tidak disebutkan hukumnya dalam dalil-dalil Al Quran dan As Sunnah dalam permasalahan baru.
Qawa'id al-Fiqhiyyah membolehkan seseorang mengetahui ketetapan hukum baru apabila tidak ada keterangan yang jelas dari al-Quran dan as-Sunnah. Ilmu ini juga dinamakan sebagai ashbah wa al-nada'ir yang diasaskan oleh para ulama fuquha seperti Al-Qadi Abu Muhammad al-Husayn (412 H) dan Abu Tahir Muhammad (548 H)
Al-Qadi Abu Muhammad al-Husayn menyebut bahawa mazhab Shafi'i berkisar pada lima pokok hukum utama:
1) al-Yaqin la yuzalu bish-shakk : kepastian tidak ditolak oleh keraguan.
Sesuatu yang telah diyakini tidak akan hilang dengan kedatangan syak atau keraguan. Menurut al-Fadani (1916-1990), kepastian merujuk kepada keyakinan di hati atas suatu realiti yang tidak akan dapat dihilangkan oleh keraguan. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam Kitab Daqa-iq al-Minhaj bahwa kepastian tidak dihilangkan oleh keraguan, sama ada 50/50 atau 70/30.
2) al-Mashaqqat tujlab al-taysir : kesusahan menghasilkan kemudahan.
Imam al-Jarhazi dalam Kitab Mawahib menjelaskan kaedah ini terhasil dari dalil, "Tidak ada kesusahan dan kesempitan dalam agama" (QS 22:78) dan: "Allah menghendaki kemudahan bagimu dan bukannya kesulitan" (QS 2:185).
Dalam menjalani hidup, manusia akan mengalami berbagai peristiwa yang menyebabkannya merasa senang, susah, gembira, sedih, aman, tenang dan sebagainya. Islam sebagai agama rahmatan lil alamin tidak akan membebankan umatNya dengan sesuatu yang mereka tidak mampu.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya..."(QS 6:152)
"Dan Kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..." (QS 23:62)
3) al-Darar muzal : bahaya (mudhorat) mesti dihapuskan.
Tujuan syariat Islam diturunkan adalah untuk menjaga dan menghasilkan maslahah kepada manusia secara menyeluruh di dunia dan di akhirat. Menurut imam al-Ghazali maslahah boleh ditakrifkan sebagai manfaat yang berlandaskan hukum syara' untuk pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Islam adalah agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada semua umat manusia. Demi menjaga kemaslahatan manusia, Islam memberi ruang kemashalatan yang cukup luas kepada umatnya seperti ketika dalam keadaan darurat, Islam mengharuskan perkara-perkara yang haram.
Contoh seperti ucapan kalimah kufur ketika nyawanya terancam (QS 16:106), keharusan memakan makanan yang haram, sekadar melepaskan keadaannya ketika darurat dan tidak berlebih-lebihan. (rujuk QS 2:173 dan QS 5:3).
4) Tahkim al-'Adat wa al-ruju 'ilayha : adat adalah asas penghakiman.
Uruf adalah amalan dan adat-adat kebiasaan dalam sebuah masyarakat. Uruf yang telah diamalkan secara menyeluruh dalam sebuah masyarakat boleh dijadikan sebagai sumber hukum dalam Islam. Contohnya seperti amalan penduduk Medina.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apa saja yang dipandang kaum muslimin merupakan kebaikan maka ia di sisi Allah juga merupakan kebaikan. Dan apa saja yang dipandang kaum muslimin merupakan keburukan maka ia di sisi Allah juga merupakan keburukan” (HR Ahmad dan Thabrani)
5) Al-Umur bi-maqasidiha : setiap perbuatan dinilai oleh niat
Dalam Kitab Idah al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, al-Lahji menjelaskan bahawa makna al-umuru bimaqasidiha adalah setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat dan objektif niat adalah untuk membezakan ibadat dari kebiasaan.
Niat membezakan perbuatan yang boleh dilihat sebagai kebiasaan dan perbuatan ibadah seperti mandi biasa dengan mandi wajib. Niat juga mempunyai objektif kedua: iaitu untuk membezakan amalan-amalan ibadah seperti perbezaan waktu solat dan perbezaan solat fardhu dengan solat sunat.
Izz al-Din ibn 'Abd al-Salam (557H - 660H) menyebut bahawa semua perkara fiqh dikembalikan kepada satu syariat yang tunggal: iaitu mencapai manfaat dan mencegah kemudhoratan; Walau bagaimanapun, para ulama lain merasakan bahawa semua urusan fiqh hanya kembali kepada perolehan manfaat sahaja (al-Fawa'id al-Janiyyah 1 / 139-43).
Penulis-penulis kitab qawa'id al-fiqhiyyah banyak menjelaskan isu-isu ini dalam tulisan ilmiah mereka seperti dalam kitab al-Mawahib al-Saniyyah yang dikarang oleh imam al-Suyuti (911H) dan kitab Idah al-Qawa'id al-Fiqhiyyah (al-Lahji).
Diantara kepentingan-kepentingan ilmu qawaid al-fiqhiyyah adalah:
1) Menyatukan permasalahan fiqh Islam kerana banyak persoalan masalah furu’yang biasa dapat dikumpulkan dalam satu kaedah yang selaras dan selari dengan tuntutan Islam.
2) Mempelajari ilmu ini dapat menjaga dan mengikat semua masalah furu' yang sama illat dalam satu kaedah yang sama.
3) Mendidik para peniliti untuk menguasai masalah-masalah fiqh dan menjadikannya mampu menyimpulkan hukum-hukum yang tidak tertulis dalam kitab-kitab fiqh sesuai dengan kaedah mazhab masing-masing.
4) Mempermudahkan para peneliti untuk memahami hukum fiqh yang terhasil dari 5 kaedah yang mudah.
5) Mengikat hukum-hukum yang banyak dengan satu ikatan dengan tujuan menuju kepada kemaslahatan.
(refer: Legal maxims of Islamic jurisprudence)
Wallahu'alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment