Search This Blog

Wednesday, October 25, 2017

Tools of ijtihad - Sadd al-Dhara'i (blocking the means)



Maksud perkataan dhara'i ialah cara, manakala sadd bermaksud tertutup atau terhalang. Oleh itu, sadd al-dhara'i bermaksud menghalang cara atau perkara yang akan membawa kepada mafsadah (mudarat atau keburukan).

Menurut Imam al-Qurtubi, sadd al-dhara'i ialah perkara yang pada asalnya tidak ditegah melakukannya, namun sekiranya ia mengandungi unsur-unsur yang boleh membawa kepada kerosakan, maka ia ditegah dari melakukannya.

Imam Al-Syatibi pula berpendapat bahawa sadd al-dhara’i ialah mengguna jalan maslahah (kebaikan) sebagai cara untuk menghalang mafsadah (kerosakan). Perbuatan yang pasti akan mendatangkan kerosakan atau mafsadah mestilah ditegah dari sudut zatnya.

Contohnya, gali perigi di hadapan pintu rumah pada waktu malam yang gelap yang akan mengakibatkan orang yang masuk ke dalam rumah pasti akan terjatuh ke dalam perigi tersebut. Perbuatan sebegini adalah dilarang (haram) dalam Islam berdasarkan konsep sadd al-dhara'i.

Perbuatan yang pada asalnya harus dilakukan tetapi akan mendatangkan keburukkan atau bahaya yang nyata adalah wajib dihalang dan dilarang. Contohnya, sadd al-dhara'i melarang seorang lelaki mengahwini seorang perempuan dengan tujuan untuk membolehkan isteri tersebut berkahwin semula dengan bekas suaminya (yang telah lafaz talak 3).

Sadd al-dhara'i adalah salah satu daripada sumber hukum perundangan Islam yang tidak disepakati. Ulama-ulama Malikiyah dan Hanabilah menjadikan sadd al-dhara'i sebagai hujah syar’iyyah dan dalil hukum tetapi ulama-ulama mazhab Zahiri, mazhab Hanafi dan mazhab Syafii menolak sumber ini daripada dijadikan hujah dalam pengeluaran hukum.

Ibnu Qayyim menegaskan bahwa satu perempat (1/4) daripada hukum-hakam dalam Islam adalah berdasarkan sadd al-dharai. Diantara dalil-dalil yang membenarkan sadd al-dhara'i dalam Islam adalah:

"Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas..." (QS 6:108)

- ayat ini mengandungi tegahan mencela berhala walaupun ia adalah perkara sesat dan kufur. Allah SWT mengharamkan umat Islam mencerca tuhan orang-orang musyrik agar dapat mencegah orang-orang musyrik daripada mencela Allah (perbuatan balas dendam).

"...janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka..." (QS 24:31)

- Islam melarang wanita-wanita yang beriman menghentakkan kaki- kaki mereka meskipun perbuatan tersebut diharuskan. Ini adalah bertujuan agar kaum lelaki tidak memberi perhatian kepada mereka dan mendorong ke arah rangsangan syahwat yang diharamkan oleh syara'.

"Jangan biarkan orang bercakap bahawa Muhammad membunuh para Sahabatnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

- Nabi SAW melarang para Sahabat membunuh orang-orang munafik walaupun mereka secara terang-terangan menyebarkan fitnah dalam kalangan orang Islam agar Nabi SAW tidak dituduh sebagai pembunuh Sahabat sendiri.

Oleh yang demikian, dalil-dalil ini jelas menunjukkan bahwa Islam menggunakan kaedah sadd al-dhara'i untuk menghalang cara atau perkara yang akan membawa kepada keburukkan atau kemudaratan (mafsadah).

Walau bagaimanapun, golongan yang menolak sadd al-dhara'i mengemukakan hujah-hujah mereka untuk menyokong pendapat mereka, diantaranya adalah:

"Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah..." (QS 16:116)

- ayat ini menegaskan bahwa perbuatan menghalalkan atau mengharamkan sesuatu akan terjerumus ke dalam perkara yang diharamkan Allah SWT.

“Sesungguhnya yang halal itu jelas, sebagaimana yang haram pun jelas. Di antara keduanya terdapat perkara syubhat -yang masih samar- yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Barangsiapa yang menghindarkan diri dari perkara syubhat, maka ia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya..." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan kepada hujah ini, Ibn Hazm tidak mengharamkan sesuatu perbuatan kerana semata-mata takut ia membawa ke arah perkara yang haram. Beliau berpendapat bahawa dalam perkara yang pengharamannya tidak jelas, maka tidak boleh menetapkannya haram hanya kerana takut ia menjadi jalan ke arah perkara haram.

Mazhab Zahiri menolak sadd al-dhara'i sepenuhnya kerana mereka berpendapat bahwa manusia hanya mampu mentaati perintah Allah dan bukannya melakukan penetapan hukum tanpa dalil kerana hanya Allah sahajalah yang Maha Mengetahui segala yang diciptakanNya itu baik ataupun buruk, lalu ditetapkanNya halal dan haram.

Selain mazhab Zahiri, perselisihan pendapat diantara mazhab-mazhab lain hanyalah berpusat dalam satu kes sahaja, iaitu kes jual-beli bertangguh atau ansuran. Selain kes ini, ulama empat mazhab banyak menggunakan sadd al-dhara' dalam menetapkan berbagai hukum tertentu.

Ulama-ulama kontemporari pada hari ini banyak menggunakan rumusan sadd al-dhara'i untuk menghasilkan fatwa-fatwa mereka dalam permasalahan baru yang tiada dalil dan nas yang jelas dan kukuh dari al-Quran dan sunnah.

Contohnya: Hukum memakai purdah bagi seorang perempuan adalah harus. Tetapi, jika seorang wanita memakainya untuk menutup muka untuk kegiatan jenayah seperti terrorism, maka hukum memakai purdah akan menjadi haram.

Sadd al-Dhara'i, bersama dengan istihsan dan maslahah adalah suatu rumusan ijtihad yang dapat menjaga dan menegakkan tuntutan dan kehendak syara' Islam (maqasid syariah). Ini adalah kerana ketiga-tiga rumusan ini adalah berpaksi kepada menzahirkan maslahah dan menolak mafsadah.


Wallahu'alam



No comments:

Post a Comment