Search This Blog

Tuesday, October 31, 2017

Qawaid al-Fiqhiyyah - Al-Umuru Bi Maqasidiha



Qawaid al-Fiqhiyyah atau kaedah Fiqh yang pertama adalah Al-Umuru Bi Maqasidiha yang bermaksud setiap perkara dinilai berdasarkan Niat dan Matlamat (tujuan). Niat adalah syarat utama sesuatu perkara menjadi halal atau haram, sah atau batal.

Contohnya, seseorang yang memerah anggur dengan niat membuat cuka, harus hukumnya. Jika dia memerah anggur dengan niat membuat arak, haram hukumnya.

Imam asy-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan bahwa hadits berkaitan niat merupakan satu pertiga ilmu. Imam asy-Syafi’i mengatakan hadits berkaitan niat terkandung dalam 70 bab ilmu. Contohnya, bab ibadah, bab bersuci, bab wuduk, bab mandi wajib, bab solat, bab nazar, bab sumpah dan sebagainya.

Niat menjadi asas utama penerimaan sesuatu amalan, sama ada ia diterima atau ditolak oleh Allah. Sekiranya sesuatu amalan itu dilakukan secara betul namun salah dari segi niatnya, maka ia tidak diterima oleh Allah SWT. Fungsi-fungsi niat disyariatkan adalah seperti berikut;

i) Membezakan ibadat dengan adat muamalat. Contohnya, menahan diri dari makan kerana puasa atau menguruskan badan. Puasa adalah ibadah, manakala menguruskan badan adalah perkara duniawi.

Contoh lain seperti menyembelih binatang untuk makan atau untuk ibadat korban. Menyembelih binatang untuk makan adalah perkara muamalat, manakala menyembelih binatang untuk korban Hari Raya Haji adalah ibadah.

ii) Membezakan ibadat fardhu dengan ibadat sunat. Contohnya, niat membezakan solat dua rakaat sunat subuh dengan solat dua rakaat fardhu subuh.

Contoh lain seperti memberikan wang sebagai zakat atau sedekah. Memberikan wang sebagai zakat adalah fard (wajib), manakala memberikan wang sebagai sedekah adalah sunat.

iii) Qisas, iaitu untuk membezakan diantara perbuatan membunuh dengan sengaja atau tidak sengaja. Hukuman qisas bagi pembunuh yang membunuh secara sengaja adalah berbeza dengan membunuh dengan tidak sengaja.

iv) Taqarrub atau niat melakukan sesuatu kerana Allah SWT atau mendekatkan diri kepada Allah SWT. Contohnya, belajar atau mengajar kerana Allah SWT atau kerana kepentingan diri?

v) Perbuatan atau amalan yang diniatkan kerana Allah SWT menjadi ibadah yang diberi pahala, manakala perbuatan yang tidak disertakan niat kerana Allah SWT tidak akan memberi kesan.

Sumber dan asas dalil-dalil yang mensyariatkan niat adalah;

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya..." (QS 98:5)

Ayat ini menegaskan bahwa manusia diperintahkan untuk melakukan ketaatan kepada Allah dengan ikhlas.

"...barang siapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barang siapa menghendaki pahala akhirat..." (QS 3:145)

Ayat ini menegaskan bahwa Allah akan memberikan balasan kepada hambanya berdasarkan niat.

Umar bin Khatab berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya setiap perbuatan itu tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang akan dibalas berdasarkan apa yang dia niatkan." (HR Bukhari dan Muslim)

"Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesungguhnya tidak dikira amalan sesiapa yang tidak berniat." (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Melalui dalil-dalil ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Oleh itu, para ulama Fiqh telah menjadikan kaedah ini sebagai rumusan utama pembentukan hukum Fiqh. Segala hukum-hakam dalam Islam mestilah diselaraskan dengan prinsip ini.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment