Interactive Da'wah Training merupakan sebuah NGO dakwah Islam yang mengenengahkan ilmu mengenai perbandingan agama. Peserta yang mengikuti kursus IDT bakal diketengahkan dengan pelbagai medium dakwah yang mensasarkan golongan bukan islam melalui pembelajaran asas mengenai kepercayaan asas agama-agama yang ada di Malaysia.
Search This Blog
Wednesday, November 1, 2017
Qawaid al Fiqhiyyah - al-Yaqin la yuzalu bish-shakk
Kaedah Fiqh yang kedua adalah al-Yaqin la yuzalu bish-shakk yang bermaksud keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan. Imam as-Suyuthi menyatakan al-Yaqin adalah sesuatu yang tetap dan pasti yang dapat dibuktikan melalui penelitian dan menyertakan bukti-bukti yang mendukungnya.
Dalam syara' Islam, sesuatu perkara yang sudah diyakini tidak boleh ditinggalkan hanya disebabkan dengan keraguan atau syak. Ini bermaksud sesuatu perkara yang sudah diyakini, apabila timbul keraguan selepas itu tidak akan menjejaskan keyakinan yang ada.
Islam mengajar kita agar mengelakkan diri dari sesuatu yang boleh mendatangkan syak atau was-was. Ini adalah kerana syak boleh menimbulkan kekeliruan dalam banyak keadaan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kita. Oleh itu, para mujtahidin telah merumuskan kaedah Fiqh al-Yaqin la yuzalu bish-shakk ini untuk menyempurnakan pembentukkan hukum-hakam Fiqh.
Terdapat beberapa pecahan di bawah kaedah ini, diantaranya adalah;
1) Sesuatu yang diyakini tidak akan terbatal kecuali dengan keyakinan. Contohnya, sesiapa yang yakin telah berwuduk dan syak berlakunya hadas selepas itu, maka dia dianggap masih lagi dalam keadaan suci. Dan sebaliknya, jika sesiapa yang telah yakin belum berwuduk dan syak telah bersuci, maka dia dianggap belum bersuci.
2) Asalnya seseorang itu adalah terlepas daripada tanggungjawab. Sesuatu perkara adalah kekal dalam keadaannya yang sedia ada pada bila-bila masa sehinggalah terdapat bukti yang membuktikan sebaliknya.
Contohnya, apabila seseorang didakwa telah melakukan kesalahan, maka wajib menampilkan bukti kesalahannya (presumed innocent until proved guilty).
3) Sesuatu perkara yang dihukum ada, asalnya adalah tidak wujud. Contohnya, seseorang yang telah menggunakan harta orang lain mendakwa dia dibenarkan berbuat demikian, tetapi dinafikan oleh Tuan harta tersebut. Maka penafian Tuan harta akan diterima kerana pada asalnya tiada keizinan dan harta orang lain adalah haram.
4) Hukum terhadap sesuatu perkara adalah berdasarkan kepada keadaannya yang paling hampir dengan situasi yang berlaku. Contohnya, di sisi mazhab Syafi'i jika seseorang yang melihat najis pada pakaiannya sedangkan dia telah solat beberapa waktu dengan kain tersebut dan tidak mengetahui bila kainnya terkena najis mestilah mengulangi solatnya.
5) Hukum asal segala sesuatu adalah harus (kecuali perkara ibadah) sehingga ada dalil yang menunjukkan larangan atau keharamannya. Contohnya;
Hukum asal bagi perkara muamalat (interaksi sesama manusia) adalah harus sehingga ada bukti yang melarangnya. Ini adalah berlandaskan dari dalil-dalil berikut;
"Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi..." (QS 2:29)
Dan Dialah yang memudahkan bagi kamu apa yang ada di langit dan bumi kesemuanya (QS 45:13)
“Bahawasanya ada seseorang yang mengadu kepada Rasulullah SAW bahwa dia merasakan seakan-akan telah kentut dalam solatnya. Maka Rasulullah SAW bersabda : “Janganlah dia batalkan solatnya sampai dia mendengar bunyi atau mencium bau.” (HR Bukhari dan Muslim)
Jika hukum asal setiap perkara muamalat memerlukan dalil untuk mengharuskannya, maka perkara-perkara baru yang tidak disebut dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW seperti penggunaan tenaga elektrik, menaiki kapal terbang, pembedahan surgical dll akan menjadi haram.
Kaedah Fiqh 'al-Yaqin la yuzalu bish-shakk' ini mempunyai kedudukan yang sangat agung dalam islam. Bahkan sebahagian ulama menyatakan bahawa kaedah ini merangkumi tiga perempat daripada seluruh permasalahan fiqh dalam Islam.
Syak adalah suatu perasaan dalam hati manusia yang terhasil dari hasutan syaitan seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dari kejahatan pembisik penghasut (syaitan) yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya (was-was) ke dalam hati manusia..." (QS 114:4-5)
Kaedah Fiqh ini dapat membantu dan mengajar kita cara-cara mengatasi was-was yang timbul apabila berlaku pertembungan di antara perasaan yakin dan syak. Maka, kita diwajibkan mendahulukan keyakinan yang ada dan abaikan keraguan yang timbul kemudian.
Wallahu'alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment