Interactive Da'wah Training merupakan sebuah NGO dakwah Islam yang mengenengahkan ilmu mengenai perbandingan agama. Peserta yang mengikuti kursus IDT bakal diketengahkan dengan pelbagai medium dakwah yang mensasarkan golongan bukan islam melalui pembelajaran asas mengenai kepercayaan asas agama-agama yang ada di Malaysia.
Search This Blog
Saturday, November 4, 2017
Qawaid al Fiqhiyyah - al-Mashaqqat tujlab al-taysir
Islam adalah suatu agama yang boleh diamalkan oleh manusia pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Oleh itu, apabila seseorang dalam kesempitan atau kesukaran, maka Islam memberi kelonggaran dan keringganan dalam melaksanakan Perintah Allah SWT.
Kaedah Fiqh ini dimanakan al-Mashaqqat tujlab al-taysir atau setiap kesusahan ataupun kesukaran disertai dengan kemudahan. Apa yang dimaksudkan sebagai masyaqqah adalah kesusahan atau kesukaran yang akan membuka ruang kepada kemudaratan (mafsadah).
Kaedah ini pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat sebagaimana hadits riwayat Anas ra yang bermaksud:
"Kami keluar bersama Nabi SAW dari Madinah ke Mekah, dan kami bersolat 2 rakat, 2 rakaat, sehinggalah kami kembali ke Madinah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila bermusafir, maka diharuskan untuk qasarkan solat. Kaedah ini dikenali dalam ilmu fiqh sebagai hukum rukhsah. Rukhsah bermaksud keringanan yang diberikan oleh Allah SWT dalam keadaan-keadaan tertentu. Apabila kehidupan manusia tidak dapat elak dari masyaqqah atau kesusahan, maka Islam memberi kelonggaran di situ.
Contohnya seperti keharusan memakan makanan yang haram, sekadar melepaskan keadaannya ketika darurat dan tidak berlebih-lebihan. (rujuk QS 2:173 dan QS 5:3). Ini semua merupakan rukhsah (kemudahan/keringanan) yang dikurniakan oleh Allah SWT demi menjaga kemaslahatan umatNya.
Imam asy-Shafi'i berkata, "Apabila ada kesempitan pada sesuatu perkara, maka hendaklah diperluaskan". Contohnya, apabila sakit, maka boleh bertayammum atau meninggalkan puasa, termakan kerana terlupa pada bulan puasa dimaafkan. air jalan raya yang terpercik pada kain pada hari hujan dimaafkan dan sebagainya.
Diantara dalil-dalil yang mendokong kaedah al-Mashaqqat tujlab al-taysir adalah seperti berikut:
"Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada disertakan kemudahan" (QS 94:5)
"Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran." (QS 2:185)
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." (QS 2:286)
"Ia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama..." (QS 22:78)
Dari Abu Hurairah r.a, bahwa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya agama itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agama melainkan ia akan dikalahkan. Oleh itu, kerjakanlah dalam kadar semampu-nya dan bergembiralah (dengan pahala Allah) dan mohonlah pertolongan di waktu pagi, petang dan sebahagian malam” (Hadis Riwayat Bukhari no.39)
Pada dasarnya, Islam ialah agama yang mudah kerana ia diturunkan oleh Allah SWT yang menciptakan manusia dan alam semesta. Oleh itu, Dia tahu apa yang termampu bagi kita dalam menghadapi urusan2 kehidupannya dan tidak akan menzalimi kita dengan beban yang tidak mampu dipikul oleh manusia.
Berdasarkan penelitian dan kajian para ulama, terdapat 7 sebab mengapa Islam memberi rukhsah kepada manusia, diantaranya adalah:
1) Musafir - rukhsah yang diberikan kepada orang yang musafir ialah seperti solat jamak dan qasar.
2) Sakit - orang yang sakit diharuskan untuk bertayammum apabila badannya tidak boleh terkena air.
3) Terpaksa atau dipaksa - Contohnya, kelaparan yang boleh mengancam nyawa diharuskan memakan perkara yang diharamkan.
4) Terlupa - makan kerana terlupa pada bulan puasa dimaafkan.
5) Kejahilan - sesiapa yang benar-benar jahil atau tidak mengetahui bahawa sesuatu perbuatan itu haram, maka dia akan terlepas daripada mendapat dosa.
6) Kepayahan yang tidak dapat di-elakkan - contoh seorang nelayan atau penjual ikan tidak boleh elak daripada sisik2 ikan. Oleh itu, sah wuduknya selepas dia berusaha membersihkan dirinya walaupun masih lagi terdapat yg terlekat pada badannya.
7) Kekurangan - contohnya kanak-kanak dan wanita tidak wajib solat jumaat kerana kekurangan sifat-sifat tertentu.
Walau bagaimanapun, menurut para ulama, tuntutan taklif (tanggungjawab/kewajipan seorang mukalaf) tidak dikira sebagai musyaqqah (kesukaran) kerana mengikut adat tidak menjadi bebanan malah ia adalah satu keperluan.
Wallahu'alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment