Interactive Da'wah Training merupakan sebuah NGO dakwah Islam yang mengenengahkan ilmu mengenai perbandingan agama. Peserta yang mengikuti kursus IDT bakal diketengahkan dengan pelbagai medium dakwah yang mensasarkan golongan bukan islam melalui pembelajaran asas mengenai kepercayaan asas agama-agama yang ada di Malaysia.
Search This Blog
Monday, November 6, 2017
Qawaid al-Fiqhiyyah - al-Dararu yuzal
Membuka ruang manfaat dan mencegah kemudaratan adalah asas kepada syara' Islam. Syariat Islam adalah dibina di atas asas ini untuk membawa kebaikan dan menolak keburukan. Kebaikan atau maslahah yang dimaksudkan adalah kepentingan awam atau kebaikan umum yang berfaedah kepada manusia sejagat.
Menurut Imam al-Ghazali maslahah boleh ditakrifkan sebagai manfaat yang berlandaskan hukum syara' untuk pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mengikut peringkat.
Oleh yang demikian, para ulama fuquha telah merumuskan kaedah fiqh Al-Dhararu Yuzal (semua kemudaratan mesti dihapuskan) yang berlandaskankan dari dalil-dalil berikut:
"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya...: (QS 7:56)
"Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan..." (QS 5:64)
"Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan niat memberi mudarat dengan melakukan kezaliman) terhadap mereka..." (QS 2:231)
"Tiada mudarat dan tidak memudaratkan." (HR Bukhari dan Muslim).
Maksud hadith ini ialah tidak harus seseorang melakukan kemudaratan terhadap saudaranya sama ada memulakan atau membalasnya.
Pecahan atau cabang kepada kaedah al-Dararu yuzal adalah seperti berikut:
1) Darurat menghapuskan yang dilarang. Maksudnya, darurat mengharuskan perkara yang haram. Apabila seseorang berada dalam keadaan darurat, maka perkara-perkara yang dilarang atau haram diharuskan.
Contohnya, demi menjaga maslahah manusia, Islam memberi ruang yang cukup luas kepada umatnya sehingga membenarkan ucapan kalimah kufur ketika nyawanya terancam, asalkan hatinya tetap dalam keimanan (rujuk QS 16:106).
Kaedah ini dikenali dalam ilmu fiqh sebagai hukum rukhsah. Rukhsah bermaksud keringanan yang diberikan oleh Allah SWT dalam keadaan-keadaan tertentu.
Contoh lain adalah seperti;
- Harus memakan makanan yang haram, sekadar melepaskan keadaannya ketika darurat dan tidak berlebih-lebihan (rujuk QS 2:173 dan QS 5:3).
- Harus minum arak ketika dahaga sekiranya tiada minuman lain untuk diminum demi menyelamatkan diri daripada mati kehausan (QS 22:78).
Islam melarang setiap perbuatan yang melanggari hukum syara'. Tetapi demi menjaga kemaslahatan manusia, segala yang dilarang syara' bertukar menjadi harus apabila berada dalam keadaan darurat. Tetapi hukum keharusan pada perkara haram itu bertempoh dan tidak selama-lamanya. Apabila terkeluar dari keadaan darurat, maka keharusannya terhapus dan ia kembali kepada hukum asalnya, iaitu haram.
Contohnya, keharusan pesakit wanita mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki bukan mahram sekiranya tiada doktor wanita. Setelah pesakit wanita itu sihat, ia akan kembali kepada hukum asal, iaitu haram membuka aurat atau bersentuhan dengan lelaki bukan mahram.
2) Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang sama berat.
Contohnya, nafkah tidak diwajibkan ke atas suami yang fakir untuk keluarga yang juga fakir. Hal ini kerana menolak kemudaratan daripada fakir pertama itu menimbulkan kemudaratan yang sama dengan keluarganya.
Contoh lain, seseorang itu tidak boleh binasakan kehidupan orang lain demi menyelamatkan kehidupan sendiri.
3) Kemudaratan boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan. Apabila terdapat pertentangan di antara dua kemudaratan, maka dihindarkan yang lebih berat dengan mengambil yang lebih ringan (choose lesser of the two evils).
Contohnya, jika seseorang dipaksa minum arak, kalau tidak diminum ia akan dibunuh, maka halal arak itu bagi dirinya itu. Ini adalah kerana ancaman membunuh itu lebih berat mudaratnya daripada mudarat minum arak.
4) Menolak mafsadah lebih utama dari mengambil maslahah. Maksudnya, apabila bertembung mafsadah (keburukan) dengan maslahah (kebaikan), maka perlu menolak mafsadah terlebih dahulu sebelum mengambil maslahah.
Contohnya, harus berdusta (walaupun asalnya dusta adalah keburukan yang diharamkan dalam Islam) apabila perlu kerana ia dapat datangkan kebaikan dan kepentingan yang lebih utama.
Misalnya, seperti berdusta untuk tujuan perdamaian di antara dua orang yang bertelingkah atau berdusta dengan isteri bagi tujuan kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga.
Contoh lain adalah seperti harus terjemahkan al-quran kepada bahasa bukan Arab memandangkan betapa perlunya manusia mengetahui hukum Islam, kerana bukan semua orang dapat menguasai Bahasa Al-quran dengan baik.
Justeru itu, maka dimaafkan meninggalkan sebahagian yang kewajiban syara' demi masyaqqah (kesulitan) yang akan membawa kepada darurat untuk menjaga atau mencapai maslahah yang lebih besar.
Perbezaan diantara masyaqqah (kesulitan) dan kemudaratan (darurat) adalah:
i) Masyaqqah adalah suatu kesulitan yang menghendaki keperluan (hajat) terhadap sesuatu dan apabila tidak di penuhi tidak akan membahayakan manusia dalam tempoh masa yang pendek.
ii) Darurat ialah kesulitan yang jika tidak diselesaikan akan mengancam agama, jiwa, akal, keturunan atau nasab dan harta serta kehormatan manusia.
iii) Walau bagaimanapun, apabila masyaqqah (kesulitan) dipanjangkan tempoh masanya, kehidupan manusia akan jatuh ke dalam keadaan darurat.
Contohnya, bekalan elektrik terputus buat seketika waktu, ini tidak menjadi masalah tetapi jika bekalan elektrik terputus untuk masa yang panjang, maka ia akan mengganggu kelancaran jalanraya (lampu isyarat) atau mengugat keselamatan pesakit-pesakit di hospital.
iv) Apabila seluruh ummah berada dalam keadaan masyaqqah (kesulitan), maka ini dikira sebagai darurat.
Contohnya, pekerja-pekerja DBKL (pembersihan awam) mogok kerja untuk jangkamasa yang panjang, maka seluruh ummah akan berada dalam keadaan darurat kerana pelbagai jenis wabak dan penyakit akan merebak akibat sampah-sarap yang tidak dibersihkan.
Hajat sekiranya tidak dipenuhi akan menimbulkan kesukaran dan kesulitan, tetapi jika kesukaran dan kesulitan itu berpanjangan, maka ia akan membawa kepada darurat. Sedangkan, darurat kalau tidak dipenuhi boleh membawa kepada kebinasaan.
Wallahu'alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment