Search This Blog

Tuesday, October 24, 2017

Tools of ijtihad - Ijma' (consensus)



Ijma' ( إجماع ) dari segi makna bahasa adalah azam atau tekad. Perkataan Ijma' dari segi istilah syara’ pula adalah kesepakatan para ulama (ittifaq - sependapat atau sebulat suara tanpa bantahan dari sesiapa) dalam menetapkan suatu hukum pada bila-bila masa selepas kewafatan Rasulullah SAW berlandaskan al-Quran dan sunnah baginda SAW.

Dalam kitab Mirah al-Usul disebut bahawa ijma mestilah mendapat persetujuan seluruh para mujtahidin. Ertinya, jika seorang sahaja yang membangkang maka tidak dianggap ijma’.

Para mujtahidin biasanya berselisih pendapat dalam sesuatu hukum, tetapi dalam sesuatu hukum tertentu, tidak seorang pun di kalangan mereka yang berbeza pendapat, maka terjadilah ijma'.

Diantara dalil-dalil yang membenarkan ijma' dalam Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW adalah:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (QS 4:59)

"Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan." (QS 7:181)

(rujuk: QS 2:143, 4:115, 4:83, 42:10)

"My ummah will never agree upon an error..." (Narrated by al-Tirmidhi (4:2167), ibn Majah (2:1303), Abu Dawood (no 4253), albani said this hadith is hasan)

Ibn 'Abbas narrated that the Messenger of Allah (pbuh) said: "Allah's Hand is over the Jama'ah..." (Narrated by at-Tirmidhi Book 31 Hadith 2166)

Ijma tidak mungkin berlaku melainkan ada 4 rukun berikut;

1) Wujudnya sejumlah mujtahid ketika terjadinya suatu peristiwa yang mempunyai pandangan atau pendapat masing-masing ke atas peristiwa tersebut, dan kemudian bersetuju di atas satu pendapat sahaja.

Justeru, inilah sebabnya mengapa tidak ada ijma pada zaman Rasulullah SAW kerana baginda adalah satu-satunya tempat merujuk segala hukum-hakam.

2) Ittifaq (sependapat atau sebulat suara tanpa bantahan dari sesiapa) ke atas hukum syara' pada sesuatu masalah yang dipersetujui oleh seluruh ulama mujtahidin dalam dunia Islam tanpa mengira bangsa atau negara ketika masalah itu muncul.

3) Ittifaq atau kesepakatan mereka hendaklah dimulai dengan pendapat yang jelas dari salah seorang daripada mereka dalam bentuk perkataan, fatwa atau perbuatan.

4) Ittifaq atau kesepakatan itu mestilah dari seluruh ulama mujtahidin dalam dunia Islam tanpa bantahan dari sesiapa pun. Majoriti atau jumhur ulama yang sepakat dan mempersetujui sesuatu pendapat tidak dianggap sebagai ijma' dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah syara'.

Ijma berlaku dalam dua keadaan, iaitu;

1) Ijma sorih - kesepakatan seluruh ulama mujtahid dalam bentuk perkataan maupun perbuatan tentang suatu hukum pada sebuah masalah syar’i. Menurut kesepakatan para ulama’ ijma’ sorih wajib dijadikan sandaran hukum kerana ijma’ jenis ini adalah qati' al-dilalah.

2) Ijma’ Sukuti - kesepakatan beberapa mujtahid mengenai suatu hukum syar’i dengan perkataan atau perbuatan dan ada mujtahid yang mendiamkan diri serta tidak diketahui apakah ia setuju atau tidak setuju terhadap hasil kesepakatan mujtahid-mujtahid selainnya (tacit approval).

Mazhab Hanafi dan mazhab Hambali mengakui ijma sukuti sebagai sumber dalil dan hujah syari'. Manakala, Malikiyah dan Syafi’iyah mengingkari ijma’ sukuti sebagai sumber dalil kerana mereka berpendapat bahwa diamnya beberapa ulama mujtahid tidak dapat memenuhi syarat ijma’.

Para ulama setuju bahwa tidak akan terjadinya ijma' jika tiada sandaran dalil ke atasnya. Dalil-dalil yang disandarkan ke atas ijma' kadangkala berada dalam nas al-Quran dan sunnah, tetapi adakalanya dalam Qiyas, Uruf, Maslahah, Sadd al-Dhara'i dan jenis-jenis ijtihad yang lain.

Contohnya; berlakunya ijma' mengharamkan minyak babi yang disandarkan dari Qiyas haramnya makan daging babi (QS 2:173, 5:3). Demikian juga dengan ijma' haram berkahwin dengan cucu-cucu perempuan dari anak-anak lelaki yang bersandarkan kepada nas al-Quran:

"Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu..." (QS 4:23)

Contoh lain; selepas kewafatan Rasulullah SAW, ummat Islam memerlukan seorang khalifah sebagai pengganti Baginda SAW. Maka kaum muslimin pada masa itu bersepakat untuk mengangkat seorang khalifah dan atas kesepakatan bersama itu, maka Abu Bakar ra. diangkat sebagai khalifah pertama.

Walaupun pada permulaannya ada segelintir sahabat yang kurang setuju dengan pelantikan Abu Bakar ra. tetapi kemudian semua kaum muslimin menyetujuinya. Maka, berlakunya satu ijma yang disandarkan ke atas maslahah atau kebaikan seluruh ummah.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment