Search This Blog

Saturday, October 28, 2017

Perbezaan diantara illah dan hikmah



Maksud illah dalam bidang ilmu usul fiqh adalah ciri-ciri khusus yang disebut dalam sesuatu hukum. Ciri-ciri yang disebut itu merupakan sebab mengapa hukum itu disyariatkan. Hilangnya sifat maka hilanglah hukum. Contohnya:

"Seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW lalu dia berkata: “Binasalah aku, aku telah bersetubuh dengan isteriku pada bulan Ramadan." (Sahih al-Bukhari no 6164)

Seorang arab badwi telah bersetubuh dengan isterinya pada siang hari bulan Ramadhan secara sengaja. Lalu beliau pergi mengkhabarkan hal tersebut kepada Nabi SAW dan baginda memerintahkan kepadanya untuk melakukan kaffarah.

Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendapat bahawa illah bagi hukum dalam hadis di atas adalah perbuatan bersetubuh pada siang hari bulan Ramadan. Hanya para mujtahidin sahaja yang layak menentukannya illah kerana terdapat syarat-syarat tertentu dalam proses 'masalik al-illah' atau jalan-jalan mengenal pasti illah (tanqih al-manath, takhrij al-manath, dan tahqiq al-manath).

Antara syarat-syarat illah adalah seperti berikut:

1) Zahir - sesuatu illah itu mestilah zahir yang mampu dilihat oleh semua manusia dengan pancaindera mereka.

Contohnya, illah babi diharamkan makan kerana ia najis seperti yang disebut di dalam al-Quran (perintah Allah) dan bukannya kerana ia mengandung banyak penyakit, cacing pita, virus dan sebagainya.

2) Maqasid Syariah - maqasid syariah adalah tujuan asal syariat iaitu untuk menjaga kepentingan agama, nyawa, akal, maruah dan harta manusia. Dalam hal ini illah mestilah bertepatan dengan maqasid syariah.

- Contohnya, mabuk adalah illah bagi pengharaman arak, ia bertepatan dengan maqasid syariah demi menjaga akal manusia. Adalah tidak tepat jika kita nyatakan illah pengharaman arak adalah bahan alkohol ataupun jenis buah-buahan yang diproses.

3) Mundhabit (Mampu diukur) - ciri-ciri sesuatu itu mestilah boleh diukur, dan tidak berbeza-beza dikalangan manusia jika diaplikasikan ke atas mereka.

Contohnya, illah bagi membolehkan seseorang itu boleh menqasarkan solatnya adalah jarak musafir dan bukannya kerana kesulitan (musyaqqah) kerana kesulitan setiap orang adalah berbeza-beza.

Hikmah pula merupakan objektif atau tujuan hukum syariat yang bermatlamatkan menjaga kepentingan manusia dan menolak kemudharatan. Hikmah tidak mempunyai ciri-ciri yang khusus dan ia merupakan prinsip umum yang banyak terkandung dalam segala perkara yang dihalal dan diharamkan oleh Allah SWT.

Contohnya, hikmah babi diharamkan kerana ia mengandung banyak penyakit, cacing pita, virus dan sebagainya. Hikmah pembayaran Zakat adalah menjamin kemakmuran dan kebajikan ummah. Hikmah al-Quran diturunkan kerana Rahmat Allah SWT.

Secara ringkas, illah adalah sebab sesuatu itu dinyatakan wajib atau haram yang ada disebut dalam teks. Manakala hikmah adalah prinsip umum (maqasid) dibelakang hukum tersebut yang tidak disebut dalam teks.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment