Interactive Da'wah Training merupakan sebuah NGO dakwah Islam yang mengenengahkan ilmu mengenai perbandingan agama. Peserta yang mengikuti kursus IDT bakal diketengahkan dengan pelbagai medium dakwah yang mensasarkan golongan bukan islam melalui pembelajaran asas mengenai kepercayaan asas agama-agama yang ada di Malaysia.
Search This Blog
Tuesday, October 24, 2017
Tools of ijtihad - Istihsan (juristic preference)
Istihsan bermaksud mengutamakan atau memilih sesuatu yang lebih baik walaupun tidak disukai orang lain ataupun bercanggah dengan sesuatu dalil khusus.
Apabila sesuatu hukum yang mempunyai dalil khusus tidak tercapai objectif Islam (mencapai maslahah, mencegah mafsadah), maka para mujtahidin akan menggunakan istihsan untuk memilih suatu hukum atau tindakan yang lebih baik agar tuntutan Islam tercapai.
Contohnya, berdasarkan dalil Qiyas, wanita berhaid adalah dilarang (haram) membaca al-Quran kerana kesucian wanita berhaid di qiyaskan dengan kesucian orang yang berjima’ (hadas besar).
Sebaliknya, hukumnya adalah harus bagi seorang perempuan yang dalam keadaan haid untuk membaca al-Quran berdasarkan istihsan. Para ulama berpendapat bahwa masa kesucian haid lama manakala masa kesucian hadas besar atau berjima’ adalah sekejap.
Oleh itu, demi kemaslahatan wanita yang berada dalam keadaan haid, mereka diharuskan membaca al-Quran. Ini adalah kerana jika tidak, bererti dalam tempoh haid yang lama itu, wanita tidak akan dapat beribadah dengan membaca al-Quran, sedangkan lelaki dapat membacanya sepanjang masa.
Imam Abu Hanifah adalah seorang imam yang sangat terkenal dan amat pandai menggunakan sumber istihsan sebagai dalil hukum dan beliau banyak merujuk masalah-masalah berdasarkan sumber istihsan.
Imam Abu Hanifah berkata:
“Barang siapa mengetahui al-Quran dan as-sunnah, pendapat para sahabat Rasulullah SAW dan apa yang diistihsankan oleh para ulama fuqaha, dapatlah dia berijtihad terhadap hal-hal yang dihadapinya dan dia menjalankan yang demikian itu terhadap solatnya, puasanya, hajinya dan segala yang disuruh dan yang dilarang. Maka apabila dia berijtihad dan berqiyas kepada yang menyerupainya dapatlah dia beramal dengan yang demikian walaupun dia salah dalam ijtihadnya”.(Dr Abdul Wahhab Khallaf,1984)
Walau bagaimanapun, Istihsan merupakan salah satu daripada sumber hukum perundangan Islam yang tidak disepakati. Para ulama berselisih pendapat tentang kehujahan Istihsan kerana Istihsan adalah salah satu cara untuk mencari penyelesaian terbaik bagi kepentingan awam dengan kaedah penggunaan akal fikiran yang mungkin terdedah kepada kesilapan dalam menetapkan hukum.
Antara ulama yang menerima kehujahan Istihsan adalah ulama Hanafiyah, Malikiyyah dan sebahagian ulama Hanbali. Manakala, antara ulama yang menolak kehujahan Istihsan adalah ulama Shafi’iyyah serta sebahagian ulama Hanbali.
Diantara dalil-dalil yang membenarkan Istihsan dalam Islam adalah:
"Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran..." (QS 2:185)
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..." (QS 2:286)
"Sesiapa yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya, mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna." (QS 39:18)
"Dan ikutilah sebaik-baiknya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari Rabb-mu..." (QS 39:55)
"Tiada mudarat dan tidak memudaratkan." (HR Bukhari dan Muslim).
"Apa yang dinilai oleh orang-orang Islam itu baik, maka ia adalah baik di sisi Allah. Dan apa yang dinilai oleh orang-orang Islam itu buruk, maka ia adalah buruk di sisi Allah." (HR Bukhari)
Islam adalah agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Oleh yang demikian, para mujtahidin telah mentaklifkan kaedah fiqh, Qawaid al-Fiqhiyyah - Al-Dhararu Yuzal (semua kemudaratan mesti dihapuskan).
Demi menjaga kemaslahatan manusia, Islam memberi ruang kemashalatan yang cukup luas kepada umatnya sehingga membenarkan ucapan kalimah kufur ketika nyawanya terancam, asalkan hatinya tetap dalam keimanan (rujuk QS 16:106).
Walau bagaimanapun, umat Islam tidak boleh menolak sesuatu kemudaratan dengan menggunakan mudarat yang lain. Contohnya, seseorang itu tidak boleh binasakan kehidupan orang lain demi menyelamatkan kehidupan sendiri.
Perbezaan diantara Istihsan dan Qawaid al-Fiqhiyyah - al-dhararu yuzal adalah dalam kaedah Istihsan, pertentangan yang berlaku adalah diantara pertembungan hukum-hukum yang berdalil khusus. Manakala kaedah fiqh al-dhararu yuzal lebih tertumpu kepada masalah baru dalam Islam.
Istihsan adalah salah satu daripada tiga 'safety-net tool' (selain dari maslahah dan saad al-dhara'i) yang disebut dalam buku Syariah Intelligence. Ketiga-tiga kaedah ijtihad ini digelar 'safety-net tool' kerana ia dapat mengembalikan kemaslahatan yang dituntutan dalam Islam apabila suatu hukum fiqh terpesong menghala ke arah mafsadah.
Wallahu'alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment