Search This Blog

Monday, April 17, 2017

Beri salam kepada Non-Muslim




Setelah Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani diantara puak Quraisy dan pihak Nabi SAW pada tahun keenam hijrah (628 M), masyarakat Quraisy telah melanggar syarat perjanjian tersebut dengan membantu Bani Bakar menyerang Bani Khuzaáh yang telah memberikan kesetiaan kepada Rasulullah SAW.

Apabila Rasulullah SAW mengetahui hal tersebut, baginda bersama 10,000 tentera Islam pun menyerang kota Mekah dan berjaya menaklukinya. Setelah menakluki kota Mekah, Rasulullah SAW membebaskan penduduk Mekah yang pernah menentang Islam dan memberi tempoh 4 bulan untuk mereka berdamai dengan pihak Islam.

Inilah masanya turun wahyu Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka..." (QS 9:5)

Pada masa yang sama, Allah SWT juga telah memerintah umat Islam untuk memberi perlindungan kepada mereka yang bukan Islam sebagaimana firmanNya yang bermaksud;

"Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah, kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui." (QS 9:6)

Dalam tempoh 4 bulan berdamai itu, terdapat segolongan Yahudi yang tidak berpuas hati dengan penaklukan Kota Mekah. Pada masa itu, sekumpulan Yahudi datang bertemu Nabi SAW dan memberi salam kepada baginda dengan ucapan 'as-sam alaikum' yang bermaksud ‘maut ke atas kamu’.

Nabi SAW menjawab ‘wa alaikum’ sahaja. Isteri Nabi, Aishah r.aha yang perasan dengan mainan ucapan salam mereka itu menjawab “as-sam ‘alaikum wal la’nah” maksudnya maut dan laknat ke atas kamu. Sabda Rasulullah SAW: “Nanti dahulu wahai Aishah! Sesungguhnya Allah suka sikap lunak dalam semua perkara”.

Jawab Aishah: “Wahai Rasulullah! Engkau tidak dengarkah apa mereka kata?”. Sabda Nabi SAW: “Aku telah pun jawab ‘wa alaikum’ (ke atas kamu)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Disebabkan oleh peristiwa pemberian salam ini, Nabi SAW telah memilih langkah untuk berhati-hati dengan tidak mendahulukan salam kepada mereka yang bukan Islam. Sabda Rasulullah SAW kepada para sahabat (maksudnya): "Janganlah kalian mendahului orang-orang Yahudi dan Nasrani memberi salam..." (HR Muslim dan lain-lain dengan lafaz yang sama)

Ini bermaksud, sebelum penaklukan kota Mekah dan semasa dalam keadaan aman damai, Rasulullah SAW dan para sahabat ada memberi salam kepada mereka yang belum Islam. Cuma semasa penaklukan kota Mekah dan setelah puak Yahudi memberi salam 'as-sam ‘alaikum' (maut ke atas kamu), umat Islam memilih langkah berjaga-jaga.

Ini juga bermaksud, jika dalam keadaan aman dan damai, memberi dan menjawab salam dari mereka yang belum Islam adalah dibenarkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

"Maukah kamu aku tunjukan sesuatu yang apabila kamu mengerjakannya, maka kamu sekalian akan saling mengasihi? Iaitu sebarkanlah salam di antara kalian.” (HR. Muslim no. 54)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Hai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, hubungkanlah tali persaudaraan..." (HR At-Tirmidzi no. 2485)

Inilah apa yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat (muhajirin) setelah berhijrah dari Mekah ke Madinah, iaitu sebarkan salam. Pada masa itu, orang-orang Madinah (ansar) belum lagi Islam. Mereka adalah non Muslim tetapi Rasulullah SAW tetap suruh para sahabat sebarkan salam dikalangan mereka.

Bukankah ini bermaksud Muslim dibenarkan memberi dan menjawab salam dari orang yang belum Islam? Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (QS 60:8)

"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu." (QS 4:86)

Walaupun peristiwa penaklukan Kota Mekah telah lama berlalu, hakikatnya adalah masih ramai lagi umat Islam pada hari ini yang masih 'tinggal' di zaman penaklukan Kota Mekah itu kerana mereka masih memegang pada hadits yang mengatakan tidak boleh beri salam kepada non Muslim...


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment