Search This Blog

Monday, June 1, 2020

Perjalanan saya selepas memeluk agama Islam



Ilmu pengetahuan saya tentang Islam adalah kosong ketika saya memeluk agama Islam. Apa yang saya tahu hanyalah kehidupan seorang Muslim yang telah dipamerkan kepada saya oleh sahabat-sahabat Muslim ku.

Saya diberi peluang untuk belajar di kelas-kelas fardhu ain yang disediakan untuk muallaf. Di sana saya belajar Iqra, cara-cara membaca Quran, fardhu ain, dan lain-lain.

Salah satu daripada kelemahan kelas fardhu ain muallaf ini adalah setiap kali ada muallaf baru sertai kita, ustaz akan ulangi pengajian dari permulaan yang telah diajar kepada kita. Setelah 3 tahun mengaji disana, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di lain tempat.

Saya telah diberi peluang untuk sertai satu kursus pendek oleh Masjid Samadiah, Port Klang yang dikendali di Masjid As-Saadah, Bandar Sultan Sulaiman. Di sini saya telah berjumpa dengan Brother Lim Jooi Soon. Ilmu perbandingan agama yang diajar oleh Brother Lim amat menarik hati saya.

Selepas kursus pendek itu, Brother Lim telah menawarkan kepada saya pengajian perbandingan agama di IDT Centre, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Dengan itu, saya bersama keluarga saya akan ulang-alik dari Port Klang ke Wangsa Maju 2-3 kali seminggu.

Apa yang menakjubkan saya di IDT Centre adalah ilmu perbandingan agama yang diajar oleh Brother Lim adalah di luar pengetahuan saya walaupun saya beragama Buddha yang berasal dari keluarga yang beragama Kristian. Kita telah diberi peluang untuk belajar dan memahami agama-agama lain yang ada di Malaysia.

Bukan itu sahaja, kita juga telah diberi peluang untuk menziarahi pusat-pusat agama lain di Melaka. Brother Lim membawa kita pergi ke Buddhist Centre, Tokong, Gereja, Gudwara dan sebagainya untuk membuat perbandingan dengan agama lain. Di sinilah saya mula tersedar betapa indahnya agama Islam dan betapa pentingnya ilmu perbandingan agama.

Selain itu, brother Lim juga telah mengajar kita asas-asas dakwah dan cara-cara untuk membimbing muallaf baru. Syukur alhamdulillah, dengan ilmu-ilmu yang diajar oleh Brother Lim, saya telah berjaya mengislamkan beberapa orang (hidayah milik Allah SWT, saya hanya menyampaikan sahaja). Malah, saya diberi peluang untuk mengajar muallaf baru melafaz 2 kalimah syahadah.

Brother Lim juga telah menjemput Sheikh Nurudeen Lemu untuk berceramah di IDT Centre. Ketika inilah saya diperkenalkan dengan ilmu usul-al-fiqh dan maqasid syariah. Inilah kali pertama saya diajar mazhab-mazhab yang ada dalam Islam. Kita juga diberi buku Syariah Intelligence yang dikarang oleh Sheikh Nurudeen Lemu.

Brother Lim telah beri kita banyak buku-buku pengajian Islam seperti Malik and Medina by Umar F. Abdullah, Reasoning with God by Khaled Abou El Fadl, Misquoting Muhammad by Jonathan AC Brown, Buku Usul al-Fiqh dan Ulum al-Quran oleh Dr Ab. Latif Muda, Buku Kaedah Usul al-Fiqh oleh Dr Abdul Karim Zaidan dan lain-lain.

Selain itu, saya juga mendapat tajaan dari Brother Lim untuk melanjutkan Diploma Pengajian Islam yang dikendalikan oleh Akademi IQS dan IDT Centre. Dalam Kursus Diploma ini, kita diajar...

1. Ulum al-Quran oleh Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin,
2. Usul al-Fiqh oleh Ustaz Mohd Khairil Anwar dan Ustaz Mustafar Mohd Suki
3. Ulum al-Hadis oleh Ustaz Abdul Razak Muthalib,
4. Pengajian Ilmu Aqidah oleh Ustaz Abu Mubarak
5. Pengajian Sirah oleh Ustaz Ezry Fahmi Eddy Yusof

Berpandukan ilmu-ilmu yang diajar oleh Brother Lim, Sheikh Nurudeen Lemu, ustaz-ustaz IQS dan buku-buku yang diberi itu, saya telah bermula menulis di Sosmed untuk manfaat bersama-sama dengan anda semua. Inilah cara saya berterima kasih kepada Islam dan juga guru-guru saya.

Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Brother Lim Jooi Soon dan semua guru-guru saya kerana telah membimbing saya menjadi seorang Muslim yang betul-betul cintakan Islam.

Saya juga mendoakan mereka semua agar sentiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT, Aamin...

❤️



No comments:

Post a Comment