Search This Blog

Sunday, June 7, 2020

Pendorong Utama Saya Memeluk Agama Islam



Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un, allahummaghfirlaha warhamha wa 'afiha wa'fuanha allahu...

Teringat lagi masa kat forum memancing MFN dulu, saya post gambar Pakcik Hashim dan sedekahkan al-fatihah kepada beliau dalam posting itu. Saya mendapat kutukan dan kecaman dari ramai Muslim, hanya kerana saya seorang non-muslim ketika itu...

Pakcik Hashim adalah pendorong utama saya memeluk agama Islam. Beliau adalah pemilik Stesen Minyak Esso kat Jalan Kim Chuan, Pandamaran, Klang.

Mula-mula saya buka kedai pancing di Port Klang dahulu, kedai saya kecik sahaja dan barang tak banyak (sewa setengah kedai shj). Pakcik Hashim adalah customer yang selalu datang ke kedai saya tuk beli alat-alat pancing. Masa itu, biasanya beliau akan beli banyak alat pancing dan saya tahu dia tak perlu pun alat-alat pancing itu, tapi dia berdegil nak beli jugak.

Selepas itu, dia akan duduk dalam kedai dan berborak-borak dengan saya. Dia ajar saya cara-cara berniaga. Dia ajar saya cara layan customer dengan bersopan-santun. Dia ajar saya cara-cara jual-beli dengan betul. Hakikatnya adalah, beliau telah ajar saya banyak perkara yang saya tidak ketahui kerana sebelum itu, saya tidak pernah berniaga.

Seminggu dia akan datang 2-3 kali ke kedai pancing aku, dan belaiu akan beli alat-alat pancing dari kedai saya. Kekadang kita akan pergi ke kolam pancing Sealion tuk memancing. Kekadang, kita akan memancing kat pantai Jeti Bagan Hailam, tepi Jabatan Laut, Port Klang. Kekadang dia akan bawa saya pergi tempat makan yang best dan belanja saya makan (masa tu saya miskin).

Padahal, saya hanya seorang budak cina yang sentiasa pakai seluar pendek, t-shirt putih pagoda dan sling bag. Masa itu, saya hanya naik motorbike kapcai sahaja tetapi Pakcik Hashim tidak pernah pandang rendah kat saya. Malah, Pakcik Hashim bawak saya pergi merata-rata tempat dalam kereta mewah dia. Berat sungguh nak taip posting ini, haizzz...

Pada suatu hari, saya diberitahu oleh anaknya bahwa Pakcik Hashim kena stage 4 cancer dan nak berjumpa dengan saya. Lalu anaknya pun bawak saya ke rumah Pakcik Hashim di Shah Alam. Inilah gambar beliau bersama saya di rumahnya di Shah Alam. KIta berborak di rumah dia dan dia berpesan kepada saya satu perkara, "Belajarlah agama Islam..."

Inilah kata-kata terakhir beliau kepada aku. Selang beberapa hari selepas itu, saya diberitahu Pakcik Hashim sudah takde. Ya Allah, hanya Allah sajalah yang tahu betapa sedihnya aku masa itu. Mulai dari hari itulah, niat dan semangat saya nak belajar dan memeluk agama Islam semakin kuat. Dari umur awal 30-an lagi saya telah berniat nak memeluk agama Islam tetapi bekas isteri dan keluarga saya adalah non-muslim. Oleh itu, saya terpaksa akur dengan agama mereka.

Inilah kisah saya dengan Pakcik Hashim. Selepas Pakcik Hashim sudah takda, saya telah post gambar ini kat forum memancing MFN dan sedekahkan al-fatihah kepada beliau dalam posting saya dengan tujuan nak mohon ahli-ahli forum memancing itu berdoa dan sedekah al-fatihah kepada arwah.

Ketika itulah, saya dikutuk dan dikecam beramai-ramai oleh forumers Muslim kerana saya seorang non-muslim yang ingin sedekah al-fatihah kepada orang Islam. Mereka ini tidak tahu betapa rapatnya aku dengan Pakcik Hashim. Saya dimarah, dikutuk dan dihina oleh mereka. Tak nampak langsung akhlak yang diajar dalam Islam.

Syukur alhamdulillah, Allah SWT telah membuka pintuNya kepada saya dan jadikan saya seorang Muslim. Saya sentiasa ingat pesanan Pakcik Hashim suruh saya belajar agama Islam. Maka, saya telah berjanji dengan diri sendiri untuk tunaikan permintaan beliau dengan belajar agama Islam seumur hidup. 

Oleh itu, berpandukan ilmu-ilmu yang saya telah pelajari, hari ini saya ingin doakan agar Allah SWT ampunkan dosa perbuatan-perbuatan mereka yang pernah kutuk dan marah saya pada masa itu. Semoga mereka semua diberi hidayah dan jadi orang-orang sentiasa berbakti kepada Islam. 

Dan saya juga doakan semoga Allah SWT tempatkan Pakcik Hashim di tempat yang mulia di sisi-Nya, aamin...

❤️



1 comment:

  1. Innalilahiwainnalilahirojiun. Brother Kurau King juga telah meninggal dunia pagi tadi...moga Allah permudahkan segala urusan Brother di sana jua.

    ReplyDelete