Search This Blog

Thursday, July 27, 2017

Kisah Suhaib Ar-Rumi dan Khabbab bin al-Arat



Setiap manusia yang diciptakan Allah SWT akan diberi ujian, cubaan, musibah dan permasalahan hidup. Allah SWT akan menguji hambanya dengan ujian untuk menentukan keimanannya. Dan diantara ujian-ujian Allah SWT yang paling berat dan perit yang pernah diharungi oleh seorang Muslim adalah mereka yang mula-mula memeluk Islam.

Ini adalah kisah dua orang hamba Allah SWT yang telah memeluk agama Islam ketika awal dakwah Rasulullah SAW di Makkah. Mereka adalah Suhaib Ar-Rumi dan Khabbab bin al-Arat. Mereka ini adalah diantara 10 orang yang terawal yang telah memeluk agama Islam selepas Rasulullah SAW menerima wahyu pertamanya.

Diriwayatkan bahwa pada suatu hari, ibu Suhaib telah membawa beliau ke sebuah desa yang bernama At-Taniya dan pada masa yang sama, desa itu telah diserang oleh orang Romawi dan Suhaib telah diculik dan dibawa ke Romawi (Byzantine Empire) untuk dijadikan sebagai hamba abdi.

Suhaib adalah anak kepada seorang hakim Parsi dari suku Numair di sebuah wilayah dekat Bashrah dan ibunya dari suku Tamim. Setelah beliau diculik dan dibawa ke Romawi untuk dijual dipasaran hamba abdi, hidup beliau bersilih ganti tangan yang menguasainya, berpindah dari satu tuan ke tuan yang lain. Dengan itu, Suhaib membesar di Kota Romawi dan fasih berbahasa Yunani.

Pada suatu hari, beliau berpeluang melepaskan diri dari Romawi dan pun terus lari menuju ke Mekah. Di Mekah, beliau digelar sebagai Suhaib Ar-Rumi (Suhaib yang berasal dari Romawi) kerana pelatnya berbahasa Arab dan ketampilannya yang menyerupai orang Romawi.

Di Mekah, Suhaib bekerja sebagai seorang wakil perniagaan kepada tuan barunya, iaitu seorang bangsawan yang bernama Abdullah bin Jad’an. Suhaib amat rajin dan tulus dalam perniagaan tuannya sehingga beliau menjadi seorang pedagang yang berjaya dan kaya di Ummul Qura'.

Dikisahkan bahwa, pada suatu hari ketika beliau pulang dari perdagangannya, dia terdengar kisah seorang yang bernama Muhammad, anak kepada Abdullah telah diutuskan menjadi Rasulullah. Beliau telah diberitahu bahwa orang yang bernama Muhammad ini melarang orang dari buat maksiat dan menyuruh orang menyembah Allah yang satu.

Suhaib amat terpegun dengan khabar ini lalu pergi menyiasat siapakah orang itu. Suhaib telah diberitahu bahwa orang yang bernama Muhammad itu tinggal di rumah al-Arqam ibn Abi al-Arqam. Beliau juga telah diberi amaran agar berhati-hati jika nak berjumpa dengan Muhammad kerana Suhaib adalah pendatang yang tidak mempunyai perlindungan dari kabilah-kabilah atau saudara mara (untuk menolongnya) jika terjadi apa-apa yang tidak diingini.

Ammar bin Yasir telah mengisahkan bahwa Suhaib telah berjumpa dengannya di rumah al-Arqam ketika Rasulullah SAW berada dalam rumah itu. Lalu Suhaib dan Ammar pun memasuki rumah itu setelah diberi izin oleh Rasulullah SAW untuk mendengar penyampaian baginda SAW. Setelah menyakini apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, mereka berdua pun menyatakan keislaman mereka.

Mereka berdua mendengar penyampaian baginda SAW sehingga malam dan pulang ke rumah masing-masing dengan kemanisan iman baru mereka. Walau bagaimanapun, mereka berdua menerima nasib yang sama seperti Bilal bin Rabah, Khabbab dan orang-orang yang terlebih dahulu menerima Islam. Mereka telah disiksa dengan zalimnya oleh orang-orang Quraisy.

Suhaib disiksa oleh orang-orang Quraisy kerana enggan melafazkan kalimah kufur mempertuhankan Al-Laat and al-Uzza, begitu juga dengan Ammar bin Yasir, dimana keluarganya telah dibunuh dengan kejam.

Badan Khabbab bin al-Arat telah dilecur dengan bara besi yang panas membakar dan Bilal pula dihempap dengan batu besar di padang pasir yang panas. Beginilah nasib mereka yang memula memeluk agama Islam sehingga Allah SWT berfirman (maksudnya):

"Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS 16:110)

Khabbab bin al-Arat dilahirkan di Najd dan merupakan seorang hamba abdi yang berasal dari Bani Tamim. Beliau bekerja sebagai tukang besi (blacksmith) dan beliau pandai membuat alat-alat senjata, terutama pedang. Senjata dan pedang buatannya dijualnya kepada penduduk Makkah.

Pada suatu hari, Khabbab telah pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW selepas beliau mengetahui dakwah baginda SAW adalah menghapuskan kezaliman dan penindasan dari golongan bangsawan dan pihak berkuasa keatas golongan yang lemah. Rasulullah SAW juga menyeru agar beriman dengan Tuhan yang satu.

Selepas mendengar dakwah Rasulullah SAW, Khabbab menghulurkan tangan beliau kepada baginda SAW dan menyatakan kalimah syahadah, 'La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah'. Dan beliau dengan bangganya mengistiharkan keislaman beliau kepada sesiapa sahaja tanpa segan-silu atau takut.

Khabbab, Bilal bin Rabah, Suhaib Ar-Rumi, Ammar bin Yasir, Sumayyah binti Khayyath (ibu Ammar bin Yasir) adalah diantara sahabat-sahabat Nabi SAW yang tidak menyembunyikan keimanan dan keislaman mereka. Mereka bangga dengan agama mereka walaupun diancam dengan siksaan dan bunuh.

Diriwayatkan bahwa selepas Khabbab bin al-Arat menerima Islam, beliau telah disiksa dengan teruk oleh majikannya Ummi Anmaar dan penduduk kafir Quraisy. Demi untuk mematahkan keimanannya kepada Allah SWT dan RasulNya, badan beliau telah dilecur dengan bara besi yang membakar.

Ummi Anmaar, abangnya Sibaa'ah ibn 'Abd al-'Uzza dan beberapa orang dari Bani Khuza'a pergi berjumpa dengan Khabbab. Mereka menyoal Khabbab tentang keimanannya terhadap agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Tanpa getar, Khabbab berkata, "Saya telah beriman kepada Allah yang satu dan Muhammad itu utusanNya."

Golongan kafir musyrik itu pun memukul Khabbab dan membakar rantai besi sehingga membara dan dililitkannya keatas tubuh badan Khabbab. Demikianlah, Khabbab menanggung siksaan dan penderitaan dengan sabar, tabah dan tawakkal.

Siksaan dan kesakitan yang amat perit ini telah mendorong Khabbab, Suhaib dan beberapa orang sahabat pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Mereka tanya, "Wahai Rasulullah, tidakkah anda memintakan pertolongan Allah bagi kami?" Ketika itu Nabi SAW sedang berbaring di depan Kaa'bah, lalu baginda SAW pun bangun dan berkata,

"Dahulu sebelum kalian, ada seorang yang disiksa, tubuhnya dikubur kecuali leher ke atas. Lalu diambil sebuah gergaji untuk menggergaji kepalanya, tetapi siksaan demikian itu tidak sedikit pun dapat memalingkannya dari agamanya. Ada pula yang disikat antara daging dan tulang-tulangnya dengan sikat besi, juga tidak dapat menggoyahkan keimanannya. Sesungguhnya, Allah akan menyempurnakan hal tersebut, sehingga setiap pengembara yang pergi dari Shana’a ke Hadramaut, tiada takut kecuali pada Allah Azza wa Jalla."

Setelah mendengar kata-kata Rasulullah SAW, semangat mereka menjadi lebih kuat dan bertambahlah keimanan dan keteguhan hati mereka. Dengan itu, mereka serta merta berikrar untuk membuktikan ketabahan, kesabaran dan pengorbanan mereka kepada Allah SWT dan RasulNya.

Pada hari Rasulullah menerima Wahyu untuk berhijrah ke Medinah, Suhaib ar-Rumi, Abu Bakar dan baginda SAW telah merancang untuk melarikan diri dari Mekah ke Medinah.

Malangnya rancangan Suhaib telah gagal dan beliau dikejar dan ditangkap oleh orang-orang Quraisy. Walau bagaimanapun, pada malam harinya, Suhaib berjaya melepaskan diri dari pengawal-pengawal Quraisy.

Suhaib ar-Rumi pun melarikan diri menuju ke Medinah tetapi telah dikejar oleh orang-orang Quraish. Suhaib lari ke arah bukit dan bertahan disana. Lalu Suhaib pun menjerit kepada orang-orang Quraisy itu:

“Anda tahu saya adalah seorang pemanah yang terbaik. Jika anda datang dekat saya, demi Allah, aku akan membunuh kamu dengan anak panah yang ada pada ku dan cantas kamu dengan pedang yang ada di tangan ku."

Mereka pun berkata, "Demi Allah, kami tidak akan membiarkan kamu melarikan diri dengan nyawa dan kekayaan kamu." Suhaib pun kata, “Apakah kalian akan membebaskan aku jika aku memberikan kekayaan ku kepada kamu?”

“Ya,” jawab mereka. Suhaib pun mengatakan kepada mereka tempat di mana dia menyimpan harta kekayaannya dan mereka pun membebaskan Suhaib. Maka Suhaib pun terus lari menuju ke Medinah dengan harapan nak berjumpa dengan Rasulullah SAW tanpa kuda, tanpa harta, tanpa sehelai sepinggan.

Walaupun Suhaib ar-Rumi telah kehilangan segala hartanya, beliau terasa amat teruja dan gembira kerana akhirnya dia berpeluang menyembah Tuhan yang satu dan dapat hidup bersama Rasulullah SAW sebagai seorang Muslim yang merdeka.

Setelah sampai di Medinah, Suhaib telah disambut oleh Rasulullah SAW dengan ungkapan, “Rabiha al-bay` Aba Yahya !” (Ya Abu Yahya, sungguh beruntung perniagaan kamu). Lalu Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud:

"Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya." (QS 2:207)

Rasulullah SAW menyifatkan tindakan beliau sebagai tindakan yang menguntungkan, iaitu menjualkan hartanya dan berhijrah sehelai sepinggang demi menyelamatkan agamanya.

Khalifah Umar bin Kattab pernah menyuruh Khabbab bin al-Arat ceritakan pasal siksa yang pernah dialaminya, beliau hanya perlu membuka baju dan menunjukkan kesan-kesan parut di atas badan tubuhnya tanpa perlu berkata apa-apa. Sesiapa yang melihat parut-parut di tubuh badannya akan serta merta merasa kesakitan dan keperitan yang pernah dialaminya.

Pada masa Umar Bin Khattab menjadi Khalifah hingga Ustman Bin Affan, Khabbab termasuk kaum muhajirin yang mendapat gaji besar. Walaupun gajinya lumayan, tetapi gaji itu tidak pernah diambil semuanya. Beliau buat satu tabung kebajikan di hadapan rumahnya untuk sesiapa yang memerlukannya pergi ambil. Gaji besar itu juga disedekahkan kepada sesiapa yang memerlukannya.

Beliau sangat zuhud dan teguh memegang prinsip hidup sederhana di masa awal Islam. Kemewahan yang diperolehinya diakhir hayatnya telah menyebabkannya khawatir dan risau kerana para sahabat dan sanak saudara yang telah pergi mendahuluinya sebelum mereka mendapat sebarang ganjaran dunia. Sedangkan dia masih hidup dan beroleh kekayaan dunia.

"Demi Allah, tak pernah saya menutupnya walau dengan sehelai benang, dan tak pernah saya menghalangi siapa pun yang meminta (harta bendanya)," ujarnya. Di akhir hayatnya, ketika dilihatnya kain kafan yang diberikan kepadanya, air matanya mengalir. Beliau berkata;

"Lihatlah ini kain kafanku. Bukankah kain kafan Hamzah paman Rasulullah SAW ketika gugur sebagai salah seorang syuhada, hanyalah burdah berwarna abu-abu, yang jika ditutupkan ke kepalanya terbukalah kedua ujung kakinya. Sebaliknya bila ditutupkan ke ujung kakinya, terbukalah kepalanya?" Khabbab wafat pada tahun 37 H.

Ketika Umar Al-Khattab sakit akibat cedera ditikam yang membawa kepada ajal, Umar sempat berpesan supaya Suhaib solatkan jenazahnya dan menggantikannya sebagai imam solat yang secara tidak langsung menjadi ketua negara buat sementara waktu.

Hal ini jelas menunjukkan betapa besarnya penghormatan yang diberikan oleh Umar al-Khattab kepada beliau dan juga menunjukkan bahawa Suhaib tergolong dalam tokoh sahabat yang istimewa. Suhaib meneruskan kehidupannya dengan membantu Khalifah-Khalifah al-Rasyidin sekiranya diminta.

Suhaib juga memiliki akhlak yang baik dan merupakan seorang dermawan yang amat pemurah, yang suka belanja orang makan, terutamanya anak-anak yatim dan fakir miskin. Inilah kisah Suhaib ar-Rumi, seorang anak hakim, pastu jadi seorang hamba abdi dan selepas itu jadi seorang pedagang dan akhirnya menjadi seorang Muslim yang berjaya.

Beliau wafat pada tahun 38 H pada usia 73 tahun, dan dimakamkan di Baqi ketika pemerintahan Khalifah Ali Bin Abi Talib r.a. Kisah-kisah ini mengajar kita bahwa pengorbanan harta benda demi agama adalah suatu dagangan yang amat menguntungkan dan sabarlah dengan sebenar-benar sabar apabila diuji dengan ujianNya kerana Allah SWT pasti akan membalasnya dengan sebaik-baik balasan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar, ganjaran bagi mereka adalah tanpa hisab (tak terhingga).” (QS. Az Zumar: ayat 10)


Wallahu'alam

- Assignment pengajian sirah dari Ustaz Ezry Fahmi Eddy Yusof :- Pilih apa sahaja peristiwa di dalam sirah, kaji, dan ceritakan pengajaran yang boleh didapati dari peristiwa tersebut.

Kisah-kisah tambahan untuk assignment Pengajian Sirah (untuk cukupkan 10 mukasurat):

a) Kisah Urwah bin Mas'ud

b) Kisah Mutim ibn Adi

c) Kisah Waraqah ibn Naufal

d) Kisah Suwaibah al-Islamiah




No comments:

Post a Comment