Search This Blog

Thursday, July 13, 2017

IDT-IQS Pengajian Ulum al-Hadits



Maksud hadits secara literal ialah sesuatu yang baru (al-Qadim). Hadits dalam bidang ulum al-hadits bermaksud apa-apa yang datang daripada Rasulullah Saw sama ada perkataan, perbuatan, taqrir (tacit approval) atau sifat. Sifat merangkumi sifat akhlak dan sifat kejadian (fizikal) sama ada sebelum baginda diutus menjadi rasul ataupun selepasnya.

Dari sudut cabang ilmu hadits, Sunnah secara literal bermaksud jalan atau cara hidup sama ada terpuji ataupun tercela. Dari segi istilah pula, para ulama hadis mengatakan takrif sunnah adalah sama dengan hadis. Lawan bagi sunnah adalah bid’ah.

Dari segi ilmu usul fiqh pula, sunnah bermaksud perkataan, perbuatan dan taqrir Nabi SAW yang digunakan sebagai dalil untuk keluarkan hukum.


Istilah-istilah dalam ulum al-Hadits

1) Matan - isi atau texts hadits. Dengan mengkaji sanad dan matan (secara bersama), maka para ulama dapat mengenal pasti sejauh mana sesuatu hadith itu benar-benar sahih.

2) Sanad - rantai periwayat hadits (chain of narrators)

3) Terdapat 2 jenis riwayat hadits, iaitu:

a) Riwayat dengan makna

b) Riwayat dengan lafaz

4) Rawi (plural - ruwwah) - orang yang menyampaikan hadits yg diterima olehnya dari gurunya atau dari orang yg dipercayainya.

5) Thuruq - jalur atau cabang rankaian hadits

6) Muhadith - Pakar Hadits atau Ulama Hadits

7) Mufassir - Pakar tafsir al-Quran

8) Dalam bidang hadits, martabat al hafiz (hadits) adalah lebih tinggi dari muhadith.

- Muhadith cuma hafal hadits dan sanad (rantai perawi)

- Al Hafiz tahu rangkaian perawi dan juga latar belakang perawi, amalan mereka serta guru-2 kepada perawi tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat khilaf terhadap maksud dan tafsiran maksud al Hafiz di kalangan ulama.

Hadits yang diterima ada 4, iaitu:

i) Hadis sahih
ii) Hadis sahih ligrairihi
iii) Hadis hasan
iv) Hadis hasan ligrairihi

Hadits yang ditolak adalah hadis dhoif kerana tidak memenuhi syarat-syarat hadis yang sahih. Hadis dhoif tidak boleh digunakan sebagai hujah atau dalil hukum. (rujuk jenis-jenis hadis dhoif).


Pembahagian Hadis

Secara umum, hadis boleh dibahagikan kepada 2 kategori mengikut jumlah perawi yang meriwayatkan hadis tersebut;

1) Hadis Mutawatir - hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah besar rawi sehingga mustahil bagi mereka bersepakat untuk berdusta. Hadis mutawatir terbahagi kepada 2 iaitu;

i) Mutawatir lafzi - hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh sejumlah periwayat yang ramai secara sama lafaz dan sama makna (exact word/literal and contextually similar)

ii) Mutawatir maknawi - hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh sejumlah periwayat yang ramai secara makna sahaja, bukan lafaz. Maksud yang sama tetapi lafaz yang berbeza.

Contohnya: Hadis tentang Nabi SAW angkat tangan ketika berdoa. Terdapat sekitar 100 hadis tentang Nabi SAW mengangkat tangan ketika doa tetapi hadis-hadis tersebut menyebut suasana dan peristiwa yang berbeza-beza.

"Rasulullah SAW tidak mengangkat kedua tangan beliau dalam doa-doanya selain dalam doa salat istiqa' dan beliau mengangkat tangannya, sehingga nampak putih-putih kedua ketiaknya." (HR Bukhari dan Muslim)

Antaranya Nabi SAW mengangkat tangan ketika berdoa dalam solat gerhana, solat istisqa' (minta hujan) dan pelbagai situasi yang lain.

2) Hadis Ahad - hadis ahad ialah hadis yang tidak mencukupi syarat mutawatir. Hadis ahad terbahagi kepada tiga, iaitu, gharib, aziz dan masyhur.

i) Gharib - Hadis yang diriwayatkan oleh seorang periwayat sahaja, meskipun masih dalam salah satu thabaqah. Hadis gharib terbahagi kepada dua:

a. Gharib Mutlak - Hadis yang menyendiri dalam asal sanadnya.

b. Gharib Nisbi - Hadis yang menyendiri pada sanad berikutnya.

ii) ‘Aziz - Hadis ‘aziz iala hadis yang diriwayatkan oleh dua orang periwayat sahaja, meskipun masih dalam tingkatan yang sama. Sebab jumlah periwayat yang sedikit pada kebanyakkannya boleh dijadikan pegangan dalam bidang ilmu ini.

iii) Masyhur -
Hadis masyhur ialah hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih, tetapi masih belum memenuhi syarat mutawatir. Kadangkala istilah ini diucapkan kepada hadis yang terkenal hingga menjadi buah bibir meskipun ia hadis maudhu’ (palsu).

- Kerbanyakkan hadis yang ada dalam masyarakat kita merupakan hadis ahad (90% dan lebih). Pembahagian hadis mengikut kesahihan sesuatu hadis dapat kita bahagikan kepada sahih, hasan dan dhoif (hadis palsu/maudhu termasuk dalam kategori hadis dhoif).

Boleh tak Hadits Ahad dipakai dalam bab Akidah? 

Para Ulama berbeza pendapat terhadap pendalilan hadis ahad dalam usul akidah. Pendapat pertama daripada jumhur ulama ialah tidak harus berhujah dengan hadis ahad dalam perkara akidah kerana ia tidak bersifat qat’iyyah al-thubut, sedangkan akidah didasari oleh keyakinan yang jazm (Qati - putus dari sangkaan atau keraguan).

Walau bagaimanapun, jumhur ulama berpendapat bahwa hadis ahad yang bersifat zann ghalib (sangkaan yang kuat bahwa ia adalah benar tetapi tak sampai tahap ilmu) boleh digunakan dalam masalah furu' akidah. Martabat khabar dalam hadith ahad dibahagi kepada 5, iaitu:

1) Ilmu (100% yakin)
2) Zann Ghalib (75% - 99% yakin)
3) Zann (50% - 75% yakin)
4) Syak (50% - 50% yakin)
5) Waham (kurang dari 50% yakin)


a) Hadis Sahih - hadis yang memenuhi syarat-syarat sahih iaitu dinisbahkan kepada nabi, sanadnya bersambung yakni setiap periwayat mendengar secara langsung dari gurunya, para perawinya adil dan kuat hafalan (maksud adil ialah dia adalah seorang bertaqwa, menjaga kehormatan diri, menjauhi perkara buruk seperti syirik, fasiq dan bid’ah), tidak syadz (maksudnya tidak ganjil/bertentangan daripada hadis-hadis sahih yang lain) dan tidak ada illat (maksudnya tidak ada kecacaan/aib/penyakit yang tersembunyi pada hadis tersebut).

Syarat hadis sahih ada lima:

i) Sanad yang bersambung
ii) Perawi yang tsiqah (adil & dipercayai)
iii) Perawi yang sempurna dhobit - syarat dhobit ialah ingatan yang sempurna atau ada rujukan kitab yang sempurna
iv) Tiada illat (tiada kecacatan)
v) Tiada syaz (tidak bercanggah dgn dalil yg tsiqah)

b) Hadis Hasan - hadis yang dibawah peringkat sahih tetapi masih boleh digunakan untuk berhujah serta beramal dengannya.

Syarat hadis hasan ada lima:

i) Sanad yang bersambung
ii) Perawi yang tsiqah (adil & dipercayai)
iii) Perawi yang dhobitnya kurang dari perawi hadis sahih (lemah ingatan atau kitab rujukannya pernah dicerobohi)
iv) Tiada illat (tiada kecacatan)
v) Tiada syaz (tidak bercanggah dgn dalil yg tsiqah)

c) Hadis Dhoif - hadis dhoif ialah hadis-hadis yang ditolak (tidak boleh digunakan sebagai hujah) kerana tidak memenuhi syarat-syarat hadis sahih. Hadis yang dhoif dapat dibahagikan kepada 3 bahagian;

i) Dhoif kerana sanad;

a. - Hadis muallaq - Hadis yang dari permulaan sanadnya gugur seorang periwayat. Termasuk ke dalam hadis mu’allaq adalah hadis yang seluruh sanadnya dibuang.

b. - Hadis mursal - Hadis yang dinisbahkan oleh seorang Tabi’in terus kepada Nabi SAW.

c. - Hadis munqathi - Hadis yang gugur daripadanya seorang atau dua orang periwayat, tetapi tidak berturut-turut.

d. - Hadis muaddhal - Hadis yang gugur daripadanya seorang atau dua orang periwayat secara berturut-turut.

e. - Hadis mudallas - Hadis yang terdapat keguguran didalamnya, tetapi tersembunyi sedangkan ungkapan riwayatnya menggunakan istilah ‘an ( daripada ).

f. - Hadis mursal khafi - hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi dari seorang gurunya yang semasa dengannya atau bertemu dengannya, tetapi ia tidak pernah menerima satu pun hadits darinya, namun ia meriwayatkannya dengan lafaz yang menunjukkan adanya kemungkinan ia mendengar dari guru itu.

ii) Dhoif kerana kehilangan syarat;

a. - Hadis maudhu - hadis yang periwayatnya terbukti berdusta dan mencipta matan hadis.

b. - Hadis matruk - hadis yang cacatnya disebabkan oleh periwayat yang dicurigai sebagai orang yang berdusta.

c. - Hadis mungkar - Hadis yang cacatnya disebabkan kebodohan si periwayatnya atau kerana kefasiqannya.

d. - Hadis mu’allal - Hadis yang cacatnya disebabkan oleh aib yang tersembunyi, tetapi zahirnya selamat dan tidak menampakkan aib.

iii) Dhoif kerana hilang syarat dhabit;

a) Hadis mudraj - Hadits mudraj terbagi dua, iaitu mudraj isnad dan mudraj matan. Mudraj isnad adalah hadits yang berubah susunan sanadnya. Manakala Mudraj matan adalah hadits yang matan-nya telah dicampuri atau dimasuki sesuatu perkataan yang bukan hadits, tetapi orang-orang yang mendengarkan perkataan itu menganggap ia sebagai matan hadits, kemudian disebarkannya kepada orang lain.

b) Hadis maqlub - hadits maqlub adalah “mengganti salah satu kata dari kata-kata yang terdapat pada sanad atau matan sebuah hadits, dengan cara mendahulukan kata yang seharusnya diakhirkan, mengakhirkan kata yang seharusnya didahulukan, atau dengan cara yang semisalnya.

c) Hadis musohhaf - hadis musohhaf adalah hadis yang mempunyai kesalahan pada huruf (sebutan) atau kesalahan pada nama perawi (silap tulis oleh perawi)

d) Hadis mudthorib - hadis mudthorib adalah hadis yang diriwayatkan dengan berbagai bentuk yang berbeza-beza yang saling bertentangan sehingga tidak boleh melakukan tarjih dan marjuh.

Hadis dhoif yg ringan boleh dinaikkan ke taraf hadis hasan ligrairihi jika dapat sokongan dari jalur/turuq (riwayat) lain. Contohnya:

i) Hadis Sahih Lizatihi
ii) Hadis Sahih Ligrairihi (apabila ada sokongan dari turuq lain ia naik taraf jadi sahih lizatihi)
iii) Hadis Hasan Lizatihi (apabila ada sokongan dari turuq lain ia naik taraf jadi sahih ligrairihi)
iv) Hadis Hasan Ligrairihi (apabila ada sokongan dari turuq lain ia naik taraf jadi hasan lizatihi)
v) Hadis Hadits dhoif ringan (apabila ada sokongan dari turuq lain ia naik taraf jadi hasan ligrairihi)

Syarat hadis lizatihi ialah hadis yg berdiri dengan sendirinya manakala hadis ligrairihi ialah hadis yang tidak berdiri dengan sendirinya (hadis yg memerlukan sokongan dari jalur/turuq lain). Turuq (singular tariq) adalah rangkaian/jalur riwayat.

Pembahagian hadits mengikut sandaran

1) Hadis Qudsi :
apa sahaja hadis yang maknanya datang daripada Allah s.w.t tetapi lafaznya daripada Rasulullah s.a.w. Biasanya bunyi hadis qudsi adalah seperti berikut; "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman..."

Perbezaan diantara hadits Qudsi dengan al-Quran adalah:

i) Seluruh isi al-Quran dinukil secara mutawatir (Qati' al-thubut). Manakala, hadis-hadis qudsi kebanyakan adalah khabar ahad yang merangkumi hadis sahih, hadis hasan, dan kadang-kadang hadis dhaif.

ii) Membaca al-Quran merupakan ibadah yang memperolehi pahala dan harus baca dalam solat. Manakala, membaca hadis qudsi tidak akan memperoleh pahala dan ia tidak boleh dibaca di dalam solat.

iii) Al-Quran diturunkan secara jelas melalui malaikat Jibrail, manakala hadis Qudsi kadang-kadang didatangkan melalui ilham dan mimpi.

2) Hadis Marfu’ : hadis yang disandarkan kepada nabi, baik perkataan, perbuatan atau pengakuan, baik bersambung sanadnya atau tidak.

3) Hadis Mauquf : hadis yang disandarkan kepada sahabat. Ia merupakan fatwa para sahabat. Hadis mauquf juga dikenali sebagai atsar.

- Kalau hadits mauquf berkaitan dengan umat terdahulu dan hari akhirat, ia boleh diangkat menjadi darjat hadis marfu krn para sahabat tak mungkin tahu perkara ghaib selain diberitahu oleh Rasulullah SAW.

- Kalau para sahabat buat sesuatu yg tidak boleh diijtihad (cth: Ali ibn Abi Talib solat sunat gerhana ruku 2 kali dlm 1 rakaat), ia juga boleh diangkat kpd darjat hadits marfu.

- Hadits mauquf yang tak sampai darjat hadits marfu tidak boleh dijadikan sebagai hujah tetapi ia boleh digunakan untuk menyokong hadits dhoif. Apabila hadits dhoif disokong oleh hadits mauquf, ia akan jadi hadits hasan.

- Telah disepakati oleh semua ulama bahwa para sahabat tidak akan menipu atau dusta atas nama Nabi SAW.

Imam Al-Ghazali menegaskan bahwa keadilan sahabat telah di maklumi berlandaskan apa yang ditegaskan Allah Swt sendiri. Selain itu Allah juga memuji mereka. Oleh kerana itu tidak perlu lagi menta’dilkan mereka sebab penta’dilan dari Allah lebih sahih mengingat Dia adalah Dzat yang Maha Mengetahui terhadap yang ghaib.

Pendapat Imam al-Ghazali ini disokong oleh ibn Salah, ia menjelaskan bahwa keadilan sahabat sudah tidak perlu dipertanyakan lagi. Hal ini sesuai dengan keterangan Al-Qur’an, Sunnah, dan Ijma’ bahwa mereka semua adalah adil.

- Perbezaan di antara hadis dan atsar. Ulama berbeza pendapat tentang perngertian hadis dan atsar. Ada yang mengatakan bahawa hadis dan atsar mempunyai makna yang sama dan ini adalah pendapat Imam Muslim, Imam Tahawi dan Imam Tabari.

Ulama lain pula mengatakan bahawa hadis adalah apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW tetapi atsar adalah apa-apa yang disandarkan kepada selain Nabi SAW seperti sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in.

4) Hadis Maqtu : hadis yang disandarkan kepada tabi’in dan tabi’ tabi’in sama ada perkataan perbuatan atau pengakuan.

Sebelum berlakunya fitnah al-kubra atau pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan, para sahabat tak tanya atau tak minta sanad hadits (siapakah rijal kamu?). Perkembangan ilmu jarh wa ta’dil (ilmu rijal) bermula selepas terjadinya pembunuhan Utsman bin Affan pada tahun 36 H.

Ketika itu, kaum muslimin terbahagi kepada beberapa puak dan mereka memusuhi diantara satu dengan lain sehingga membuat hadis-hadis palsu atas tindakan yang mereka lakukan.

Sejak itulah para ulama hadis mula meneliti dan memilih hadis-hadis Rasulullah SAW dari segi matan dan mengkritik sanad serta perawi-perawi yang menyampaikan hadis tersebut. Diantara sahabat yang pernah membicarakan masalah ini adalah Ibnu Abbas (68 H), Ubaidah Ibnu Shamit (34 H), dan Anas bin Malik (39 H).

(rujuk - Ilmu Jarh wa Ta’dil )


Wallahu'alam

Ustaz Abd Razak Muthalib - 11/7/2017

Carta Pembahagian Hadis


No comments:

Post a Comment