Search This Blog

Monday, July 17, 2017

Akidah Umat Islam




Orang yang berakal waras akan mengakui bahawa setiap sesuatu pasti ada penciptanya. Semua benda di alam ini, daripada sekecil-kecilnya hinggalah besar-sebesarnya, pasti ada penciptanya. Muslim memanggil Sang Pencipta ini sebagai Allah atau Rabb al-’Alamin, iaitu Tuhan yang mencipta alam semesta.

Sang Pencipta yang mencipta alam semesta ini juga telah menyediakan 'manual pengguna' yang penuh dengan bimbingan, arahan, undang-undang, nasihat dll kepada kita agar kita dapat hidup dengan sempurna dan sejahtera di dalam alam ciptaanNya. Tanpa ilmu dari manual pengguna ini, manusia akan hidup dalam kesesatan dan kejahilan yang membawa kepada derita dan kesengsaraan. Diantara munual pengguna yang telah diturunkan oleh Sang Pencipta kepada kita adalah Zabur, Taurat, Injil dan Quran.

Dalam kesemua kitab-kitab manual pengguna ini, Sang Pencipta mengajar kita bahwa yang mencipta alam semesta ini hanyalah satu Tuhan sahaja. Tuhan-tuhan yang disembah selain dari Sang Pencipta yang mencipta alam semesta ini hanyalah tuhan imaginasi akal nafsu manusia sahaja. Apabila manusia tidak berilmu, mereka akan menggunakan kuasa imaginasi akal fikiran mereka untuk memenuhi dan memuaskan nafsu mereka.

Orang-orang terdahulu yang tidak pernah kaji kitab-kitab manual pengguna ini pernah menyangka bahwa matahari, bulan, gunung berapi dll adalah tuhan. Ada dikalangan mereka yang menyembah binatang-binatang, pokok-pokok, tokoh-tokoh pahlawan dan macam-macam lagi. Ada pula yang mengabungkan satu dengan yang lain dengan menggunakan kuasa imaginasi akal fikiran mereka untuk dijadikan bahan sembahan.

Padahal, yang berhak disembah dan dipanggil Tuhan itu hanyalah Tuhan yang mencipta kita dan segala yang ada dalam alam semesta ini. Selain dari menurunkan manual penggunaNya kepada kita, Tuhan yang mencipta alam semesta ini juga telah mengutuskan Nabi dan Rasul-RasulNya untuk menyampaikan message dalam kitab-kitab manual penggunaNya kepada kita. Dari Nabi Adam, iaitu nabi yang pertama sehinggalah ke nabi yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad.

Diantara mereka berdua ini, iaitu diantara Nabi Adam dan Nabi Muhammad, terdapat banyak lagi nabi-nabi dan rasul-rasul yang telah diutuskan oleh Tuhan kepada kita. Diantaranya diketahui namanya, sebab pernah disebut dalam kitab manual pengguna Sang Pencipta dan ada yang tidak diketahui namanya sebab tidak disebut namanya dalam kitab manual pengguna Sang Pencipta. Kitab manual pengguna yang terakhir, iaitu Kitab al-Quran, adalah kitab yang telah disempurnakan oleh Sang Pencipta kepada seluruh manusia sejagat. Di dalam kitab al-Quran ada menyebut (maksudnya):

"Wahai sekalian manusia! Sembahlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)." (QS 2:22-21)

Keseluruhan ajaran Islam berasaskan tauhid. Kandungan ayat-ayat dalam al-Quran meliputi ilmu tentang Allah, sifat Allah, kejadian Allah, perbuatan Allah dan pentadbiran Allah. Al-Qur’an menerangkan segala bentuk balasan siksa (dosa) untuk mereka yang tidak mematuhi syariat-Nya, menceritakan tentang keadaan orang-orang zaman dahulu yang telah menderhakai Allah. Semua ibadat dan hukum dalam Islam adalah bertujuan untuk menambah dan mengukuhkan tauhid di dalam hati manusia.

Dengan tauhid yang kuat, maka akan terbentuklah taqwa dalam jiwa manusia. Mereka akan takut hanya kepada Allah SWT dan berani mempertahankan kebenaran dan keadilan kerana Allah SWT seperti sahabat Nabi SAW, Bilal bin Rabah yang sanggup diheret di padang pasir, dijemur di bawah kepanasan matahari dan diseksa dengan batu besar diletakkan di atas tubuhnya, tetapi masih tetap mempertahankan keimanannya. Begitu juga dengan Khabbab, yang rela dilecur dengan bara besi yang membakar dari mempersekutukan Allah SWT.

Malangnya pada hari ini, ramai manusia telah kehilangan keyakinan tauhid ini. Mereka yakin kepada yang lain daripada Allah. Mereka takut kepada kegagalan, takut kepada kemiskinan, takut kepada ketua yang membayar gaji, takut kepada kematian dan sebagainya. Oleh itu, ia menjadi kewajipan bagi pendakwah-pendakwah Islam untuk mengembalikan manusia kepada keyakinan tauhid yang betul.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
(Surah al-An’am: QS 6:17)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment