Search This Blog

Wednesday, August 2, 2017

Adakah tauhid tiga bid'ah yang terlarang dalam agama?



Tauhid merupakan konsep itiqad (kepercayaan) yang mengesakan Tuhan yang satu. Tauhid ialah asas aqidah umat Islam yang berlandaskan itiqad 'tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah' dan tidak ada yang berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan selain Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sedangkan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang” (QS 2:163)

Tauhid tiga adalah nama gelaran bagi gabungan tauhid rububiyah, tauhid uluhiyah dan tauhid asma’ wa sifat. Para ulama silam telah membahagikan ilmu tauhid (baca: ilmu tauhid, bukan tauhid) kepada 3 bahagian untuk memudahkan pengajaran dan fahaman.

Tauhid rububiyah adalah ilmu yang merangkumi kekuasaan dan kewujudan Allah SWT. Tauhid Rububiyah bermaksud taudid yang mengesakan Allah SWT dan beri'tiqad bahwa Dialah Tuhan yang pengatur segala sesuatu, Dialah pemilik seluruh alam dan Dialah yang pemberi rezekinya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Rabb (yang menguasai) langit dan bumi dan segala sesuatu yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadah kepada-Nya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia?” (QS 19:65)

Malangnya, hanya berasaskan tauhid rububiyah sahaja tidak cukup untuk menjamin akidah seorang Muslim. Ia perlu disusuli dengan tauhid uluhiyah, iaitu kepercayaan dan ibadah yang mengesakan Allah SWT dalam ketuhanan-Nya, kerana orang musyrik juga mempercayai Allah dalam tauhid rububiyah, namun tidak mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah SWT berfirman (maksudnya):
“Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka (musyirikin): Siapakah yang menciptakan mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah” (QS 43:87)

Tauhid uluhiyah adalah ilmu tauhid yang mengesakan Allah SWT dalam ibadah. Ilmu tauhid ini dibina atas dasar ikhlas semata-mata kerana Allah, takwa, tawakal, cinta dan hormat secara menyeluruh hanya kepada Allah SWT. Walaupun orang musyirik percaya Allah adalah Pencipta seluruh alam tetapi mereka tidak sembah Allah SWT.

Oleh yang demikian, para ulama silam telah membahagikan ilmu tauhid kepada tauhid rububiyah dan tauhid uluhiyah. Dengan hanya mempercayai Allah adalah Pencipta seluruh alam adalah tidak mencukupi untuk jadi seorang Muslim, tetapi ia juga perlu disusuli dengan pengabdian, keimanan, takwa, tawakal dan amalan yang mengesakan Tuhan yang satu itu.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan” (QS 1:4)

Tauhid uluhiyah juga merangkumi kepercayaan bahwa Nabi Muhammad SAW adalah Utusan Allah dan beliau adalah Nabi yang terakhir. Keingkaran manusia kepada pengabdian diri kepada Penciptanya adalah kerana kesombongan dan ketakburannya, tetapi ini bukan bererti fitrah manusia menolak adanya Pencipta.

Hanya apabila manusia ditimpa kesusahan dan kederitaan, apabila penutup dan selaput yang bersifat sombong dan takbur itu telah terkikis, maka pada masa itulah manusia akan berbalik ke pangkal jalan dan menyerahkan diri kepada Allah SWT dan meminta tolong kepada-Nya.

Tauhid asma wa sifat pula adalah ilmu yang berasaskan keimanan dan penghayatan kepada nama-nama Allah dan sifat-Nya, sebagaimana yang telah diterangkan dalam Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW. Contohnya Allah SWT menafikan jika ada sesuatu yang menyerupai-Nya, dan Dia menetapkan bahwa Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.

Ketiga-tiga ilmu tauhid ini adalah untuk mempermudahkan pelajaran dan pemahaman kepada tauhid Islam yang satu dan ia bukanlah pembahagian tauhid yang satu kepada tiga, sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak yang jahil ilmu.

Oleh itu, ilmu tauhid tiga bukanlah bid'ah yang terlarang dalam agama. Tauhid Islam tetap satu, yang terbahagi kepada tiga itu hanyalah sub-topik yang membahaskan ilmu-ilmu tauhid yang berasaskan "La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah".


Wallahu'alam

Assignment Pengajian Akidah dari Ustaz Abu Mubarak Mohamad Syafiq - Tauhid tiga adalah termasuk bid'ah yang terlarang dalam agama.

No comments:

Post a Comment