Segala amalan dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua golongan, iaitu amalan ibadat dan amalan muamalat. Ibadat adalah segala amalan dan hukum yang berkaitan dengan hubungan dengan Allah SWT (spt rukun Islam, iman, solat, dll).
Hukum asas untuk perkara ibadat adalah 'semuanya dilarang kecuali terdapat dalil untuk membenarkannya' yang berlandaskan dari sebuah hadith yang berbunyi:
“Barangsiapa membuat suatu perkara baru dalam agama kami ini yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak.” (HR. Bukhari no. 20 dan Muslim no. 1718).
Contohnya, Islam telah menetapkan 3 rakaat untuk solat mahgrib, dengan itu kita tidak boleh sesuka hati solat mahgrib 4 rakaat kerana ia adalah amalah bida'ah yang tertolak.
Walau bagaimanapun, hadits diatas adalah merujuk kepada perkara ibadah sahaja yang tiada kaitan dengan perkara muamalat.
Perkara muamalat merupakan semua tatacara, pensyariatan dan interaksi dalam hal urusan dunia yang bersangkut paut dengan hubungan manusia sesama manusia yang berlandaskan syariat Allah SWT seperti urusan perniagaan, akad perkahwinan, hukum faraid, zakat, ucapan salam sesama manusia dll.
Segala perkara dan urusan Muamalat adalah dibolehkan (harus) selagi tiada dalil yang membuktikan larangannya dan segala urusan ibadat adalah haram sehingga terdapat dalil yang membenarkannya sebagaimana firmanNya yang bermaksud;
"Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi..."(QS 2:29)
"Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah..." (QS 67:15)
Inilah hukum yang yang telah ditetapkan oleh para ulama silam apabila berdepan dengan sesuatu amalan dan masalah yang berkaitan dengan agama.
Ucapan "Merry Christmas" kepada orang Kristian adalah perkara muamalat (interaksi sesama manusia) dan segala urusan dalam perkara muamalat adalah harus sehingga ada dalil yang mengharamkannya.
Pengharaman ucapan "Merry Christmas" hanyalah pendapat ijtihadi beberapa ulama, contohnya seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan Ibn Uthaymin, yang telah melarang ucapan "Merry Christmas" kerana mereka berpendapat bahwa hari Krismas adalah perayaan keagamaan yang bercanggah dengan aqidah Islam.
Walau bagaimanapun, tiada dalil larangan kursus dalam Islam yang mengharamkan pengucapan "Merry Christmas", baik dari al Quran ataupun dari hadits Rasulullah SAW. Padahal, kepercayaan dan perayaan Kristian telahpun wujud pada zaman baginda SAW.
Hari perayaan Christmas yang pertama yang pernah dicatat dalam buku sejarah orang Kristian ialah pada December 25, 336 CE. Ini bermaksud, sambutan perayaan Christmas telahpun wujud 250 tahun sebelum ketibaan Rasulullah SAW pada tahun 530 CE.
Pada zaman Nabi SAW, pengucapan perayaan kepada orang Kristian tidak pula dilarang oleh Baginda SAW dan para Sahabat pada masa itu.
Sila rujuk; QS 2:116, QS 4:171, QS 5:73, QS 19:88-92, kepercayaan orang Kristian telahpun wujud di zaman Rasulullah SAW dan ia disebut di dalam al Quran.
Allah SWT membenarkan kita bernikah dengan Ahlul kitab dan makan makanan sembelih mereka. Kalau hal demikian telah dibolehkan, kenapa pula tidak dengan pengucapan perayaan Christmas? Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu...dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang telah diberikan Kitab itu apabila kamu beri mereka maskahwinnya..." (QS 5:5)
Allah SWT membenarkan kita berkawan dan berbaik-baik dengan non-Muslim dan berlaku adil kepada mereka sebagaimana firmanNya yang bermaksud;
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (QS 60:8)
Islam tidak membenarkan kita menindas atau zalimi mereka yang bukan muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada mereka yang tidak memusuhi kita kerana agama Islam adalah agama yang menjaga hak asasi manusia dengan adil.
Sesungguhnya, ucapan perayaan Christmas tidaklah menzahirkan kebenaran agama sesiapa pun tetapi hanyalah sesuatu ucapan yang bermaksud seumpama 'selamat menyambut perayaan anda'.
DR. Yusuf al-Qaraḍawi and Mustafa Zarqa membenarkan pengucapan "Merry Christmas" selagi niat kita adalah untuk berdakwah, bukan menyokong kepercayaan Kristian. Mereka juga membenarkan pemberian kad "Merry Christmas" dengan syarat tidak mempunyai gambar 'salib' atau sebarang gambar dan simbol keagamaan mereka.
Di antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi SAW:
“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).
Maksudnya, mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya adalah seperti memberi penghormatan keatas kematian jenazah orang bukan Islam dan bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.
Maksud 'merry' (adjective; joyful, happy, cheerful and lively) dalam bahasa English ialah bergembira (riang gembira). Maksud 'merry christmas' pula adalah 'bergembiralah pada hari perayaan christmas. Jelas ucapan ini tidak ada apa-apa unsur syirik yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.
Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim juga membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions).
Ini adalah lebih dituntut apabila mereka yang belum Islam terlebih dahulu memberi dan mengucapkannya semasa perayaan Islam kerana kita diperintah untuk membalas ucapan yang baik-baik kepada orang yang memberi ucapan yang baik kepada kita, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (QS 4:86)
Inilah adab agama Islam yang murni lagi tinggi. Ia merangkumi sesama muslim dan juga kepada bukan muslim. Sehingga Ibn ‘Abbas r.a menyebut:
“Jika Firaun berkata kepadaku ‘semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).
Maka sudah pasti mereka yang tidak sejahat Firaun dan tidak memusuhi Islam lebih layak untuk menerima ucapan balas.
Apabila berlakunya khilaf dikalangan ulama, maka kita seharusnya berlapang dada kerana kita adalah dibenarkan untuk memilih mana-mana pendapat yang kita yakini.
Pada masa yang sama, kita juga perlu menghormati pendapat orang lain, walaupun kita kurang setuju dengan mereka demi menjaga perpaduan ummah' yang sangat dituntut dalam Islam.
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai..." (QS 3:103)
"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu..." (QS 8:46)
Oleh itu, jagalah hubungan kita dengan Allah SWT dan pada masa yang sama, jaga hubungan kita sesama manusia (hablumminallah hablumminannas) sebagaimana firmanNya yang bermaksud;
"Akan ditimpa kehinaan ke atas mereka itu di mana saja mereka berada melainkan menghubungkan diri dengan Allah dan menghubungkan diri sesama manusia." (QS 3:112)
Wallahu'alam
ruj: "Christmas." Encyclopedia Britannica. 1967
ruj: Kitab Iqtida al-Sirat al-Mustaqim oleh Ibn Tamiyyah
ruj: Kitab Ahkam Ahl al-Zimmah oleh Ibn Qayyim
ruj: Majmoo‘ Fataawa ash-Shaykh al-‘Uthaymeen (3/47)
ruj: The European Council For Fatwa and Research
ruj: Hukum Ucapan Sempena Perayaan Agama Lain oleh SS Dr Asri
ruj: Congratulating Christian during Christmas by Yusuf al Qaradawi