Search This Blog

Thursday, September 7, 2017

Perbezaan diantara Nabi dan Rasul



Sebahagian ulama berpendapat bahwa nabi dan rasul adalah sama, tidak ada perbezaan di antara keduanya dari sisi makna, tetapi pendapat ini tidak diperkuat dengan dalil. Oleh itu, jumhur ulama berpendapat bahwa watak dan tugasan seorang nabi dan rasul adalah berbeza berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang RASUL pun dan tidak (pula) seorang NABI, melainkan apabila ia berkata-kata, syaitan mencampakkan kesalahfahaman terhadap perkataan itu, Allah mencatat apa yang dicampakkan oleh syaitan itu, dan Allah menguatkan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Hajj: ayat 52)

Jelas, dari ayat di atas Rasul dan Nabi adalah dua watak yang berbeza. Jumhur ulama berpendapat bahawa rasul adalah lebih khusus dari nabi dan mereka juga berpendapat bahawa semua rasul adalah nabi dan bukan sebaliknya. Ibnu Taimiyah berkata;

“Semua rasul adalah nabi, namun tidak semua nabi adalah rasul.” (lihat Majmu’ Fatawa 10/ 209 dan 18/7). Al-Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya berkata bahwa al-Mahdawi menyatakan, “Inilah yang benar, seluruh rasul adalah nabi, namun tidak setiap nabi itu rasul.” (Tafsir al-Qurthubi 12/80)

Namun, ulama berbeza-beza pandangan tentang apakah bentuk perbezaan diantara dua istilah ini kepada beberapa pendapat berikut;

1) Rasul adalah seorang lelaki yang diberikan wahyu dan diwajibkan untuk menyampaikannya. Manakala nabi adalah seorang lelaki yang diberikan wahyu, namun tidak diwajibkan untuk menyampaikannya. Walau bagaimanapun, pendapat ini tidak kuat kerana;

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat. Di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang berserah diri kepada Allah.” (al-Maidah: ayat 44)

Ayat ini menunjukkan bahwa para nabi bani Israil setelah Nabi Musa as berhukum dengan Taurat dan menyeru manusia agar berpegang dengan syariat Taurat.

2) Rasul adalah seorang lelaki yang yang diberikan wahyu dan membawa suatu syariat baru, manakala nabi adalah seorang lelaki yang diberikan wahyu, namun tidak membawa syariat yang baru, malah meneruskan syariat rasul sebelumnya.

Pendapat ini juga mendapat kritikan kerana Nabi Adam as telah membawa syariat baru (syariat bernikah antara adik beradik lelaki dengan adik beradik perempuan) tetapi beliau bukanlah seorang Rasul kerana Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadits (hadits syafaat) bahwa Nabi Adam as adalah Nabi Pertama, manakala Nabi Nuh adalah Rasul yang pertama.

"Dan Nabi Adam berkata kepada manusia ketika mereka meminta syafa’at kepada beliau di padang mahsyar: “Akan tetapi kalian datangilah Nuh, kerana sesungguhnya dia adalah rasul pertama yang Allah utus kepada penduduk bumi”. (HR. Al-Bukhari no. 3340 dan Muslim no. 194/327)

3) Rasul adalah seorang lelaki yang diutuskan kepada kaum yang kufur kepada Allah s.w.t , manakala nabi diutuskan kepada kaum yang beriman kepada Allah, namun berlaku penyelewengan agama dikalangan mereka. Allah s.w.t menyatakan bahwa yang didustakan oleh manusia adalah para rasul dan bukan para nabi, di dalam firman-Nya:

“Kemudian Kami utus (kepada umat-umat itu) rasul-rasul Kami berturut-turut. Tiap-tiap seorang rasul datang kepada umatnya, umat itu mendustakannya”. (QS. Al-Mu`minun : 44)

Dan dalam surah Asy-Syu’ara` ayat 105, Allah menyatakan: “Kaum Nuh telah mendustakan para rasul”.

Allah tidak mengatakan “Kaum Nuh telah mendustakan para nabi”, kerana para nabi hanya diutus kepada kaum yang sudah beriman dan membenarkan rasul sebelumnya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW:

“Dulu bani Israil diurus oleh banyak nabi. Setiap kali seorang nabi wafat, maka digantikan oleh nabi setelahnya”. (HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Pendapat yang paling rajih adalah pendapat ketiga kerana dua pendapat yang lain tidak terlepas dari bantahan dan kritikan.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment