Interactive Da'wah Training merupakan sebuah NGO dakwah Islam yang mengenengahkan ilmu mengenai perbandingan agama. Peserta yang mengikuti kursus IDT bakal diketengahkan dengan pelbagai medium dakwah yang mensasarkan golongan bukan islam melalui pembelajaran asas mengenai kepercayaan asas agama-agama yang ada di Malaysia.
Search This Blog
Tuesday, September 12, 2017
Assignment Ulum al-Quran
Ulum al-Quran adalah ilmu-ilmu yang membicarakan tentang al-Quran dari segi penurunannya, pengumpulannya, pentafsirannya, ijaznya, nasikh & mansukhnya dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Al-Quran juga mempunyai berbagai nama lain seperti Al-Furqan, Al-Kitab, AL-Zikr, al-Tanzil dan lain-lain.
Sebelum ketibaan Islam, masyarakat Arab jahilia ketika itu rosak dan penuh dengan kemaksiatan. Nabi SAW memperjuangkan kejahilan itu dengan fitrah. Diantara amalan jahilia masyarakat Arab ketika itu adalah seperti pembunuhan anak perempuan, penindasan atas golongan tua dan wanita, kepercayaan khurafat, tathayyur, syirik dan lain-lain. Ketibaan Islam melalui Wahyu Allah SWT yang digelar al-Quran adalah untuk menghapuskan amalan-amalan jahilia ini.
Wahyu telah diturunkan oleh Allah SWT melalui malaikat Jibrail kepada Nabi SAW secara bersambungan dan berperingkat-peringkat sehinggalah wafatnya Nabi SAW. Dikhabarkan bahwa, ketika Nabi SAW menerima Wahyu di atas unta yang tegap dan kuat pun akan terduduk kerana bebanan wahyu. Sebarang masalah yang timbul pada waktu ini dalam memahami sesuatu ayat, para sahabat boleh bertemu terus dengan Rasulullah SAW.
Sejarah pembukuan Al-Quran bermula sejak dari zaman Rasulullah lagi hasil dari proses pengajian yang berlaku antara beliau dengan sahabat. Setelah kewafatan Rasulullah SAW dan disebabkan ramai hafiz dari kalangan para sahabat telah syahid dalam peperangan Riddah, Khalifah Abu Bakar al Siddiq telah mengumpul semua catatan al Quran di zaman pemerintahannya.
Oleh kerana terdapat perbezaan lahjah dan sebutan dalam pembacaan Al-Quran, Kalifah Usman bin Affan telah menyatukan al-Quran kepada satu mushaf yang dikenali sebagai Mushaf Usmani pada zaman pemerintahannya. Di zaman Umawiyah pula, penandaan titik dan baris huruf Al-Quran telah ditambahkan oleh Hajaj Yusof As-Thaqafi.
Perkembangan bidang-bidang Ulum Al-Quran seperti Ilmu Tafsir Bir-Rakyi, Asbab An-Nuzul, Al-Makki Wal-madani, Ikjaz Al-quran terus berlaku sehingga ke zaman Abasiyah (Tabi’ Tabi’en). Dalam bidang Ulum al-Quran, Fadha’il al-Qur’an atau fadilat dan kelebihan al-Qur’an telah menjadi satu ilmu yang tersendiri dan beberapa ulama telah mengarang kitab dalam bidang ini. Antara ulama yang terkenal ialah Imam Ibn Kathir dan Imam ar Razi. Begitu juga dengan ilmu al-Qasas (kisah-kisah para nabi dan umat-umat terdahulu), ilmu qiraat dan ilmu tajwid yang terus berkembang sehingga ke hari ini.
Diantara faedah-faedah mempelajari Ulum al-Quran adalah agar dapat memahami al-Quran dengan betul dan mengeluarkan hukum, dapat mengetahui sejarah dan perkembangan al- Quran, dapat meneguhkan keimanan terhadap keagungan al-Quran, dapat mengamal dan menghayati al-Quran serta dapat menolak kekeliruan tentang al-Quran, dapat mengetahui ayat Nasikh dan Mansukh, Asbab Nuzul dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Al-Quran juga merupakan suatu mukjizat (ijaz) dari segi ilmu pengetahuan, gaya bahasanya dan sejarah serta ramalan kehidupan manusia yang menakjubkan. Isi kandungan al-Quran adalah terpelihara dari pemalsuan dan bebas dari kesalahan-kesalahan. Al-Quran adalah pedoman yang lengkap bagi manusia. Hanya dengan Ulum al-Quran atau ilmu-ilmu al-Quran yang benar dan betul sajalah yang dapat membimbing umat Islam mengharungi kehidupannya agar mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.
Wallahu'alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment