Search This Blog

Saturday, May 30, 2020

Kenapa Saya Masuk Islam?



Di antara orang-orang yang mempengaruhi saya memeluk agama Islam adalah abang Zaziz dan geng Sungai Aur. Masa tu, Abang Aziz adalah seorang Posmen di Pejabat Pos, Pelabuhan Klang. Dia akan menaiki basikalnya keliling Port Klang untuk hantar surat.

Saya kenal beliau sejak zaman sekolah saya lagi. Dulu masa budak sekolah, saya dan kawan-kawan saya dari Kampung Sungai Aur suka pergi memancing kat Jeti Pelabuhan Klang dan Pengkalan Batu Besi, Sungai Aur, Port Klang. Dulu Kampung Sg Aur ini sungguh meriah tetapi sekarang sudah tiada lagi.

Semua geng mancing saya Melayu, hanya saya seorang je Cina. Di antaranya adalah Hero Salleh Ibrahim, Mat Kelantan, Sahar Jawa, Yusof dan ramai lagi. Selepas sekolah, kita akan lepak kat Pengkalan Batu Besi tuk mancing dan mandi laut. Sungai Aur tu boleh dikira taman mainan kita.

Masa tu, kita biasa berenang ke seberang sungai (200-300 meter) atau berenang kejar tongkang yang sedang gerak kat situ. Kalau setakat terjun lipat somersault dari atas jambatan batu besi tu perkara biasa tuk kita. Kita suka main polis sentri kat situ, mula-mula kita akan jentik air jantan/betina tengok siapa jadi polis, pastu semua selam dan yang jadi polis tu akan berenang kejar kita. Siapa kena tangkap, giliran dia pulak yang jadi polis.

Kita semua pakar korek umpun dan jala udang kat sana. Umpun yang kita korek tu kekadang capai 2 meter panjangnya. Kekadang kita akan naik sampan hero salleh pergi jala udang dan biasanya dia akan bawak kuali kecik dan stove minyak tanah. Apabila dah lapar, kita akan goreng udang fresh jala tu tuk makan. Sedap sungguh udang goreng itu. Selebihnya akan dijadikan umpan untuk memancing.

Sebelah petang, kita akan bawak hasil pancing kita ke rumah abang Aziz tuk di masak dan makan. Masa tu, abang Aziz laa yang mengajar kita memancing, menjala, ikat perambut lipan, perambut kurau dan macam-macam perambut lagi. Beliau dengan sabarnya, akan terangkan kepada kita budak-budak cara-cara memancing.

Tiap-tiap hari, selepas sekolah, kita akan lepak kat pengkalan batu besi, pastu kita akan pergi ke rumah abang Aziz tuk makan malam. Akak (bini abang Aziz) akan masak ikan-ikan tu dan lauk-lauk lain untuk kami. Kita akan makan bersama keluarga Abang Aziz, iaitu dengan Opah, Kak Yah dan anak-anak beliau.

Selepas itu, kita akan pergi mancing kat Jeti Pelabuhan Klang. Kat sinilah saya belajar memancing ikan kurau dari Abang Aziz. Dia ni memang penyabar, tak pernah bersuara tinggi atau marah kita walaupun kekadang kita nakal. Dia ni ibarat bapa kedua kepada saya.

Abang Aziz banyak mengajar saya tentang cara hidup orang Islam. Dari beliaulah saya ternampak akhlak murni seorang Muslim. Masa itu saya tidak kenal lagi apa itu agama Islam, tetapi apabila saya dah dewasa, baru saya faham apa yang beliau tunjuk dan ajar itu sebenarnya adalah dari ajaran Islam.

Oleh itu, maka tertanamlah niat saya nak memeluk agama Islam. Masa tu, saya telah diuji dengan pelbagai ujian dan rintangan, tetapi akhirnya syukur alhamdulillah, Allah SWT telah membuka jalanNya kepada saya untuk memeluk agama Islam.

Hari ini, saya tidak tahu bagaimana nak berterima kasih kepada mereka semua ini yang telah memberangsangkan saya menjadi seorang Muslim. Saya hanya boleh berdoa agar Allah SWT kurniakan segala kebaikan dan kebahagian kepada mereka semua serta melindungi mereka dari gejala wabak covid19 ini, aamin...

❤️



Sunday, May 24, 2020

Selamat Hari Raya Aidil Fitri



Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir & Batin.
Taqaballahu Minna Wa Minkum...