Search This Blog

Monday, December 30, 2019

Definisi Ijtihad dan Fatwa





Pada zaman Rasulullah SAW, hukum-hakam diambil terus dari wahyu Allah SWT yang masih diturunkan dengan penjelasan dari Baginda SAW. Segala permasalahan yang timbul akan dirujuk kepada Rasulullah SAW dan akan dijawab secara terus berdasarkan wahyu Allah SWT.


Namun, terdapat sebahagian sahabat yang tidak dapat merujuk kepada Nabi SAW kerana berada di tempat yang jauh, misalnya Muaz bin Jabal yang diutuskan ke Yaman. Baginda SAW membenarkan Muaz berijtihad dalam perkara yang tidak ditemui ketentuan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bagaimanakah nanti engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa kepada engkau sesuatu permasalahan? Muaz menjawab “saya akan memutuskan hukum berdasarkan Kitab Allah”


Nabi bertanya lagi, “Sekiranya kamu tidak dapati dalam Kitab Allah?” Jawab Muaz “Saya akan memutuskan berdasarkan sunnah Rasul-Nya”


Tanya Nabi lagi “Sekiranya engkau tidak menemuinya dalam Sunnah?” Muaz menjawab “Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut. Nabi pun menepuk dada sambil bersabda “Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq kepada utusan Rasulullah ke arah sesuatu yang diredhai oleh Rasullullah. (Hadith Riwayat Ahmad dan Abu Daud)


Melalui ilmu usul fiqh, pensyariatan Islam terus berkembang luas, bersesuaian dengan keadaan tempat, suasana dan situasi semasa.


Dalam menyelesaikan masalah baru yang timbul selepas kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat telah menggunakan methodologi ijtihad untuk menghasilkan fatwa yang berlandaskan dengan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah.


Fatwa bermaksud memberi jawapan bagi sesuatu permasalahan oleh seorang faqih serta penjelasan tentang perkara yang mempunyai kemusykilan dan kesamaran tentang hukum oleh seseorang yang faqih dengan menggunakan kaedah ijtihad.


Fatwa ialah jawapan kepada masalah agama apabila seseorang ulama fuquha mengeluarkan penjelasan dan hukum terhadap perkara yang samar-samar dan fatwanya itu menjadikan sesuatu hukum tersebut lebih jelas, kuat dan kukuh.


Ulama fiqh pula telah mendefinisikan fatwa dengan pelbagai takrif antaranya:


1) Menerangkan hukum sesuatu permasalahan.
2) Menjawab segala kemusykilan baik dari sudut syarak atau undang-undang.
3) Mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk diikuti.
4) Memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu permasalahan sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berkumpulan.


Dalam masyarakat Islam, kita akan disajikan dengan pelbagai jenis fatwa dari pelbagai cabang. Ada diantaranya dari ulama-ulama silam dan ada pula dari ulama-ulama kontemporari.


Terdapat juga fatwa-fatwa yang terhasil dari mufti, ustaz-ustaz dan juga dari da'i-da'i moden. Oleh kerana fatwa terhasil dari masalah-masalah zhanniyah (tidak qati'), maka banyak fatwa boleh terhasil dari satu masalah atau satu kemusykilan.


Maka, akan terhasilnya fatwa yang bersifat tarjih (pendapat yg kuat dan kukuh) dan juga marjuh (pendapat yg lemah). Kita disarankan untuk memilih fatwa yang tarjih dan meninggalkan fatwa yang marjuh.


Kita perlu memilih fatwa yang tarjih, yang bersesuaian dengan keadaan dan suasana semasa kita. Memilih fatwa dari seorang pakar usul al-fiqh yang faqih dalam ilmu hadith dan methologi ijtihad serta mengenali uruf setempat adalah paling afdal.


Usul al-Fiqh adalah methodology atau formula yang digunakan untuk mengeluarkan hukum dari nas syara'. Pelajaran Usul al-Fiqh boleh dibahagikan kepada 4 perkara, iaitu:


1) Hukum Syarak (hukum taklifi - wajib, sunat, harus, makruh, haram dan juga hukum wadie - sah, batal)
2) Dalil (4 yg sepakat - Al-Quran, Sunnah, Ijma', Qiyas....dan 8 yang khilaf - istihsan, masalih, uruf, syara man qablana, qaul sahabi, istishab, sad al zaraie, amal ahlu madinah)
3) Taarud tarjih (dalil yg bercanggah dan penyelesaiannya)
4) Ijtihad dan taqlid (pembahasan mujtahid - ijtihad, muttabi'k - ittiba, muqallid - taqlid)


Pelajaran dan kajian usul fiqh merangkumi perbahasan hukum syarak, kajian dan pemeriksaan dalil syarak - (ibadat & muamalat, qati' & zanni, sumber syara spt quran & sunnah), methodologi ijtihad dan formula istinbat hukum (ijma' qiyas, maslahah, istihsan, sadd al dhari'a, qawaid al-fiqhiyyah dll).


Contoh fatwa yang terhasil dari ijtihad para sahabat ialah: Umar bin Khattab tidak menjatuhkan hukuman potong tangan kepada seseorang yang mencuri kerana kelaparan (darurat/terpaksa).


Contoh lain adalah seperti Utsman bin Affan menetapkan azan kedua ketika solat jumaat dan Ali bin Abi Thalib telah menetapkan 80 kali sebatan kepada peminum khamar.


Generasi selepas para sahabat yang digelar tabiin telah memikul tanggungjawab penyebaran syariat Islam. Mereka adalah anak murid para sahabat.


Diantara para tabiin yang masyur adalah Hasan al-Bashri dan Abu Hanifah, iaitu pengasas Mazhab Hanafi yang pernah meriwayatkan hadith dari Anas bin Malik dan sahabat yang lain. Abu Hanifah telah menghasilkan beberapa methodologi yang baru seperti teori Istihsan (juristic preference).


Tabi'ut tabi'in pula adalah gelaran kepada pendokong Islam selepas generasi tabiin. Diantara Imam besar era tabi'ut tabi'in adalah Malik bin Anas, iaitu pengasas Mazhab Maliki, Muhammad bin Idris Asy-Syafi'i, pengasas Mazhab Shafi'i dan Ahmad bin Hanbal, pengasas Mazhab Hambali.


Tujuan utama fatwa ialah menjaga kemashalatan umum berdasarkan pensyariatan Islam. Ijtihad dan fatwa keempat-empat Imam besar ASWJ inilah yang telah menjadi ikutan para muslimin di seluruh pelusuk dunia untuk menyelesaikan permasalahan baru sehingga ke hari ini.


Wallahu'alam